KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berpendapat UMNO jangan terlalu lama meratapi kekalahan.
Menurutnya, UMNO sebaliknya perlu segera menyusun semula parti dan jenteranya bagi membolehkannya terus relevan buat orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
“UMNO juga tidak boleh terus dibayangi oleh imej dan persepsi negatif yang bersandarkan pelbagai faktor yang tidak adil dalam pertimbangan penghakiman kepada parti ini oleh majoriti pengundi dalam PRU-14.
“Sebaliknya, UMNO harus berani melakarkan imej baru yang lebih disenangi dan diyakini oleh rakyat jelata, sekali gus memadamkan imej lama untuk ia disimpan dalam lipatan sejarah parti,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, Jalaludin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu dan Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan menawarkan diri bertanding Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada pemilihan parti kali ini.
“Berbekalkan azam, tekad yang jitu serta pengalaman dalam parti, saya dengan ini merayu para perwakilan UMNO di seluruh negara untuk memberikan peluang dan kepercayaan kepada saya menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
“Sama-samalah kita pertahankan parti keramat kita yang telah begitu banyak menabur jasa dan budi kepada umat Melayu dan rakyat keseluruhannya selama ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette