Home Utama Hishammuddin tak bertanding jawatan tinggi UMNO

Hishammuddin tak bertanding jawatan tinggi UMNO

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) pada sidang media mengumumkan untuk tidak bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat pada pemilihan UMNO. Hadir sama, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) pada sidang media mengumumkan untuk tidak bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat pada pemilihan UMNO. Hadir sama, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memutuskan untuk tidak bertanding sebarang jawatan tertinggi peringkat pusat pada pemilihan parti sesi 2018 – 2021 akhir bulan ini.

Sebaliknya, beliau akan bekerja dengan lebih keras untuk membantu membangunkan semula UMNO bermula dari negeri kelahirannya, Johor.

“Saya sedar dan insaf dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, yang tidak menyebelahi Barisan Nasional (BN). Rakyat telah menyatakan pendirian dan saya menerimanya dengan baik dan terbuka.

“Ia memberi isyarat jelas bahawasanya UMNO tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa dan menuntut kepada perubahan pendekatannya secara total. Saya turut mengambil tanggungjawab dan akauntibiliti terhadap kekalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media di Johor, hari ini.

Menurut Hishammuddin, ketika rakyat menerima keputusan PRU14, UMNO kini berada dalam peringkat pemilihan parti iaitu masa yang amat sesuai untuk parti mengambil kesempatan melakukan perubahan dengan mencorak kepimpinannya.

“Saya dapati ramai yang menawarkan diri untuk bertanding demi membawa UMNO ke hadapan dan saya percaya mereka harus diberikan peluang untuk memimpin.

“Saya berikrar untuk tetap bersetia bersama UMNO sehingga ke akhir hayat dan akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada barisan kepimpinan baharu yang bakal dipilih oleh ahli menjelang 30 Jun ini.

“Saya juga telah bercakap dengan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi dan (Datuk Seri) Khaled Norden mengenai perkara itu serta berbincang bagaimana untuk saya terus menyumbang kepada parti, mereka faham serta menghormati keputusan itu,” katanya.

Kata beliau, perjuangan sekali ini bukan mengenai individu, tetapi kekuatan berpasukan dan ia juga bukan perjuangan mengenai kedudukan, tetapi sumbangan.

“Marilah kita ambil isyarat PRU14 ini sebagai semangat dalam membina UMNO yang lebih dekat di hati rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette