Home Nasional Kalau mahu bawa Sirul kena batalkan hukuman mati

Kalau mahu bawa Sirul kena batalkan hukuman mati

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Taklimat ICU, Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 08 JUN 2018
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Taklimat ICU, Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 08 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan tidak menolak kemungkinan untuk membatalkan hukuman mati ke atas bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar sebelum dia dibawa balik ke Malaysia dalam usaha untuk membuka semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hasrat untuk membawa pulang Sirul Azhar mungkin terbantut jika hukuman itu diteruskan susulan Kerajaan Australia tidak akan membenarkan pesalah hukuman mati dibawa pulang keluar dari negara itu.

“Sirul tak boleh balik ke Malaysia kerana Australia tidak membenarkan orang yang mungkin akan digantung sampai mati balik ke negara mereka yang mana undang-undang seperti itu diadakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Mahathir mengulas laporan media antarabangsa The Guardian semalam yang mendakwa pihak berkuasa Australia telah meluluskan permohonan Putrajaya untuk mengekstradisi Sirul Azhar kembali ke Malaysia.

Berdasarkan perkembangan itu, Sirul Azhar bakal dibawa keluar dari Australia dalam tempoh sebulan lagi.

Mahathir juga berkata, hukuman mati yang dihadapi Sirul Azhar pada masa ini akan digantikan dengan hukuman penjara bagi membolehkan dia dibawa pulang untuk membantu kerajaan membuka semua kes pembunuhan berkenaan.

“Kita mungkin membatalkan hukuman gantung tetapi diganti mungkin dengan hukuman penjara dan sebagainya supaya dia boleh kembali ke tanahair.

“Sirul tak mungkin akan kembali kerana dia akan digantung di sini, bila kita kurangkan dari hukuman mati kepada penjara mungkin dia akan kembali,” katanya.

Mahathir turut menafikan laporan The Guardian bahawa kerajaan Malaysia pernah membuat permohonan untuk mengekstradisi Sirul Azhar keluar dari Australia sebelum dibawa pulang ke tanahair.

“Kita diminta untuk lihat buka semula kes itu dan kita sedang mengkaji semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.