KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa tidak bertanding jawatan Presiden UMNO dan memberikan laluan kepada orang lain untuk memimpin parti susulan langkah Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menawarkan diri pada pemilihan parti kali ini.
Cadangan itu dilontarkan oleh pemimpin akar umbi, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang juga seorang penulis blog atau dikenali Papagomo memandangkan UMNO kini memerlukan suntikan baharu untuk dipulihkan.
“Berjiwa besarlah Datuk Seri Zahid dalam keadaan payah kita hari ini demi memulihkan UMNO agar diterima masyarakat,” beliau dipetik berkata hari ini.
Sebaliknya, beliau mencadangkan agar Tengku Razaleigh Hamzah diberikan laluan untuk mengepalai UMNO sementara Zahid dan Hishammuddin membantunya dalam usaha memulihkan parti tersebut.
“Buat Datuk Sri Zahid Hamidi, tak perlulah bertanding. Bantu lah Ku Li dan kepimpinan UMNO selepas ini.
“Ku Li memerlukan Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Hishammuddin untuk membantu parti,” katanya.
Tengku Razaleigh hampir-hampir berjaya merebut jawatan presiden UMNO buat pertama kali ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 80-an.
Beliau hanya tewas tipis di tangan Mahathir, yang rentetan krisis itu membawa kepada pengharaman UMNO pada 1988.
Wan Muhammad Azri juga percaya Tengku Razaleigh diperlukan supaya generasi muda hari ini kenal musuh politik mereka Mahathir. – MalaysiaGazette