Home Nasional Ada tekanan ‘tangan ghaib’, pemimpin GLC, agensi kerajaan letak jawatan?

Ada tekanan ‘tangan ghaib’, pemimpin GLC, agensi kerajaan letak jawatan?

Muhammad Ibrahim
Muhammad Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perletakan jawatan beberapa peneraju syarikat berkaitan kerajaan  (GLC) dan agensi kerajaan dilihat mempunyai hubung kait dengan tekanan ‘tangan ghaib’ dalam kerajaan.

Unit Komunikasi Strategik UMNO berkata, rakyat melihat semua tindakan Pakatan Harapan (PH) yang mengaitkan semua mereka yang meletakkan jawatan itu dengan Datuk Seri Najib Razak seolah-olah sebagai satu usaha kerajaan mahu memasukkan ‘orang-orang tertentu’ ke dalam setiap jabatan dan agensi.

Katanya, ini adalah usaha untuk mengaburi mata rakyat dengan mengaitkan dengan ‘salah laku’ kerajaan terdahulu dengan pihak-pihak tertentu dilihat menggunakannya sebagai cara pembersihan ke atas Bank Negara Malaysia (BNM), Telekom Malaysia Berhad (TM), Bursa Malaysia dan syarikat-syarikat lain.

“Perletakan jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia, diikuti perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia serta bakal disusuli penggantian Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat seolah-olah ada hubung kait dengan tekanan tangan ghaib dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan yang Kabinet telah menerima tawaran Tan Sri Muhammad Ibrahim untuk meletakkan jawatan sebagai gabenor bank pusat itu manakala Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly meletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Bhd. pada hari yang sama.

Selain itu, UMNO juga mendapati wujud usaha mengenakan tekanan ke atas institusi diraja sehingga hampir menimbulkan krisis dengan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.

“Agak pelik juga, baru-baru ini Thomas dengan pantas memperkatakan bahawa 1MDB adalah keutamaannya,” katanya.

Jelasnya, rakyat juga tertanya-tanya apakah perlantikan Thomas sebagai tindakan yang berkemungkinan menjadikan institusi kehakiman sebagai ‘pelindung’ kepada dakwaan salah laku beberapa rakan yang rapat dengan kepimpinan PH, baik di dalam mahupun di luar Kabinet.

Menurutnya, dengan pembebasan Rafizi Ramli daripada hukuman penjara, mungkin akan wujud pula usaha untuk melepaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada hukuman atas kesalahan rasuah, sedangkan kesnya seakan-akan sama dengan kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo.

“Walaupun rakyat berasakan memang menjadi tugas peguam negara untuk menjalankan siasatan ke atas kes 1MDB dan kes-kes lain, rakyat lebih tertanya-tanya apakah pendirian peguam negara yang baru apabila beliau menyatakan kepada media untuk “menguruskan kes-kes terpilih,”.

Malah katanya, rakyat memerhati dan pasti bertanya motif tulisan Ketua Media dan Komunikasi bagi Jawatankuasa Peralihan Maj­lis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin yang menukil ‘RM257 juta dibelanjakan untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam 16 bulan’.

Apakah ini berniat memalukan Institusi Raja-Raja Melayu serta menghasut perasaan rakyat agar membenci Institusi Raja-Raja Melayu?, soalnya

“Ini tidak seharusnya berlaku, kecuali Pakatan Harapan ada niat untuk memperlekehkan Institusi Raja-Raja Melayu.

Katanya, kerajaan memerintah sepatutnya bertanggungjawab memelihara nama baik Institusi Raja-Raja, integriti pelbagai institusi kerajaan dan kepentingannya, bukan semakin merosakkan imejnya. – MalaysiaGazette