Home Politik Annuar umum jawatan bakal ditandingi minggu depan

Annuar umum jawatan bakal ditandingi minggu depan

Annuar Musa
Annuar Musa

KOTA BHARU – Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa bercadang untuk bertanding pada pemilihan UMNO, namun akan membuat pengumuman jawatan apa yang bakal ditandingi itu pada minggu depan.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata beliau perlu melawat banyak negeri bagi memberi penerangan supaya proses pemilihan parti tersebut berjalan dengan baik.

“Sekarang ini saya mahu tumpukan untuk membantu pentadbiran parti, banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Ia amanah parti yang perlu saya jalankan untuk bertemu akar umbi parti, pokoknya parti sudah membuka seluasnya dan mengalukan sesiapa sahaja tawarkan diri untuk bertanding,” katanya ketika ditemui di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Ketereh berkata anggota parti kali ini mahukan pemilihan berjalan dengan baik, tidak berkumpulan, tiada politik wang dan seharusnya tiada amalan-amalan negatif sepanjang proses pemilihan itu.

Annuar berkata UMNO perlu berubah dengan kembali kepada prinsip dan idealisma perjuangan parti itu agar tidak membenihkan segala amalan yang tidak baik ke dalam parti.

“Pemilihan kali ini saya lihat luar biasa kerana ramai golongan muda, wanita dan profesional tampil menawarkan diri untuk bertanding bagi memperkasakan parti,” katanya.

Beliau berkata apa yang dikhuatiri sebelum ini iaitu tiada siapa yang akan menawar diri untuk bertanding jika UMNO tidak lagi mempunyai kuasa, sama sekali tidak menjadi kenyataan.- BERNAMA