KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Gerakan mengakui Barisan Nasional (BN) masih tidak dapat menerima hakikat status mereka sebagai pembangkang sejak tumbang dalam PRU-14 lalu.
Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong berkata, BN kini masih dalam keadaan berangan-angan seolah-olah mereka masih memerintah sedangkan kerajaan baharu yang terbentuk dibawah Pakatan Harapan memerlukan pembangkang yang kuat dan relevan untuk membentuk negara baharu.
“Saya tak mahu sentuh bahagian teknikal menjadi pembangkang tetapi ingin berkongsi mengenai d imana kita sekarang dalam konteks Malaysia.
“Kami mengharapkan aspirasi pembangkang sedangkan wakil rakyat dan pemimpin BN masih bergelut dengan kredibiliti dan kepercayaan penuh rakyat dan rakyat tak sabar mahu melihat bagaimana pembangkang akan berfungsi dalam membawa suara mereka di Parlimen nanti.
“Kami perlukan pembangkang terkuat dan efektif tetapi apa yang menyedihkan belum capai tahap itu dan dua tahun pertama ini akan lebih mencabar untuk kerajaan baharu dan juga pembangkang,” kata beliau dalam Forum Awam Kepentingan Pembangkang Yang Terkuat Untuk Demokrasi Kukuh di Wisma Majlis Peguam di sini hari ini.
Tambah Andy, BN memerlukan seseorang pemimpin yang pintar dan lantang mengemukakan hujah berfakta di Parlimen sebagai pembangkang.
“Kami (BN) tidak mahu pemimpin seperti seperti (Datuk Seri) Jamal Md. Yunos,” ujar Andy.
Malah, katanya, pembangkang (BN) yang lemah akan memberi kesan kepada kerajaan Pusat dalam membuat keputusan yang membina dan mensejahterakan rakyat.
“Saya percaya BN boleh memainkan peranan berimpak tinggi kepada kerajaan juga rakyat, mereka ada mekanisme dan jentera sebab berpengalaman lama menjadi kerajaan dan mampu membantu negara mencapai demokrasi yang matang,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette