Home Nasional Mariappan alami cirit-birit sebelum meninggal

Mariappan alami cirit-birit sebelum meninggal

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mariappan a/l Manivannan, banduan yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Mempaga pada 6 Jun lalu telah diberi rawatan kerana cirit-birit beberapa hari sebelum kematiannya.

Jabatan Penjara Malaysia berkata, lelaki itu telah ditempatkan di sick bay klinik Penjara Bentong untuk pemantauan dan rawatan lanjut sebelum menerima rawatan pada 4 Jun 2018 di Hospital Bentong.

“Pada 6 Jun 2018 pula dibawa ke Klinik Kesihatan Mempaga untuk rawatan lanjut. Semasa rawatan pada 6 Jun 2018 penama telah disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Mempaga.

“Penama sebelum itu turut dibawa beberapa kali ke klinik penjara untuk tujuan rawatan,” menurut Supri Hashim dari Bahagian Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan di sini.

Susulan kematian tahanan itu, prosedur kerja (SOP) termasuk membuat laporan polis, koroner dimaklumkan untuk tujuan lawatan dan inkues, keluarga telah dimaklumkan, post mortem telah dilaksanakan dan Lembaga Siasatan Dalaman turut ditubuhkan untuk tujuan siasatan lanjut.

Menurutnya, Jabatan Penjara akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap pihak polis untuk menyiasat kes berkenaan.

Begitu juga siasatan dalaman yang sedang dijalankan oleh Jabatan akan meneliti semua aspek termasuklah unsur kecuaian, kelemahan, kebersihan dan rawatan.

Hasil dari siasatan tersebut dan sekiranya didapati mana-mana pihak cuai atau tidak melaksanakan tugas dengan sempurna untuk memastikan rawatan diberikan kepada simati, tindakan tegas akan diambil.

Katanya, kesihatan penghuni penjara menjadi keutamaan jabatan dan langkah meningkatkan kemudahan rawatan kesihatan diambil secara berterusan termasuk penambahan jumlah kakitangan perubatan serta peralatan dan ubat di klinik penjara.

Sebelum ini, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman mengesahkan kematian Mariappan di Klinik Kesihatan Mempaga, Bentong semasa dibawa untuk menerima rawatan pada pukul 12.40 pagi pada 6 Jun lalu.

Mariappan, 24, berasal dari Jerantut dipenjarakan pada 18 April lalu kerana kesalahan pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dijangka dibebaskan pada tahun hadapan.- MalaysiaGazette