Home Nasional Perkhidmatan 859 ketua kampung di Perak ditamatkan 30 Jun

Perkhidmatan 859 ketua kampung di Perak ditamatkan 30 Jun

Asmuni Awi
Asmuni Awi

IPOH – Kira-kira 859 ketua kampung di Perak akan ditamatkan perkhidmatan pada 30 Jun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Asmuni Awi.

Beliau berkata, pelantikan ketua kampung yang baharu akan diisi mulai 1 Julai bagi memastikan urusan pentadbiran berjalan dengan lancar.

“Proses (pelantikan) itu sedang berjalan, kami akan isi kekosongan mengikut tahap penyelesaiannya, yang sudah selesai boleh terus isi yang belum kami akan selesaikan dalam masa terdekat.

“Sama ada mereka akan dipilih semula atau tidak itu bergantung kepada cadangan daripada peringkat kawasan melalui penghulu dan pejabat daerah serta peringkat parti, mungkin ada yang kekal sekiranya mereka boleh bekerjasama dengan kerajaan baharu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 50 asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di Rumah Amanah Chemor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asmuni berkata, terdapat juga beberapa ketua kampung yang meletakkan jawatan disebabkan tidak mampu untuk menjalankan tugas di bawah kerajaan negeri yang baharu walaupun tiada arahan untuk berbuat demikian.

“Mereka memberikan alasan dipilih oleh kerajaan lama dan kerana mendukung prinsip parti yang melantik, mereka merasakan tidak mampu untuk jalankan tugas di bawah kerajaan baharu.

“Saya hormati keputusan berkenaan walaupun sedikit sebanyak ia mengganggu proses tugas ketua kampung di peringkat bawah,” katanya.

Dalam pada itu, Asmuni turut menjelaskan pengisian jawatan ketua kampung kali ini terpaksa dilakukan menerusi pelantikan kerana ia belum sesuai untuk dibuat menerusi pemilihan.

“Walaupun satu daripada manifesto Pakatan Harapan adalah pendemokrasian tetapi ia memerlukan proses untuk membolehkannya berjalan lancar dan berkesan.

“Untuk itu kami memutuskan pemilihan ketua kampung ini akan dilakukan mungkin tahun kedua atau ketiga,” katanya. – Bernama