Home Politik Zuraida nafi menentang Anwar

Zuraida nafi menentang Anwar

Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Mytown Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Zuraida Kamaruddin hari ini menafikan beliau bersama-sama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kem yang menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Wanita PKR itu berkata, dakwaan bahawa Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi diberi kuasa lebih dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk membendung pengaruh Anwar hanya persepsi semata-mata.

Jelas beliau, tugas yang digalas oleh Azmin sudah tentu memerlukan beberapa peringkat, termasuk kajian sebelum sebarang keputusan yang melibatkan agensi-agensi kerajaan.

“Tidak… Itu adalah persepsi orang ramai kebetulan portfolio yang diberikan kepada (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) Menteri Hal Ehwal Ekonomi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Strait Times Singapura baru-baru ini yang menyebut jawatan yang disandang Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah untuk mengekang kuasa Anwar, pada masa sama mengukuhkan kedudukan Timbalan Presiden PKR dala parti tersebut.

Laporan itu yang memetik  sumber sebagai berkata turut mendakwa Azmin dan Zuraida yang kini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berada dalam kem menentang Anwar. – MalaysiaGazette