KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan badan itu culas dalam mengambil sebarang tindakan terhadap projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata, siasatan awal telah dijalankan sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lagi.
“SPRM telah mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan awal terhadap isu tersebut pada awal April 2018 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 setelah menerima maklumat daripada orang awam,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa SPRM tidak mengambil sebarang tindakan terhadap projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak.
Projek itu melibatkan kos sebanyak RM1.25 bilion.
SPRM juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan dari Kementerian Pendidikan untuk siasatan lanjut.
“SPRM akan meneliti dokumen-dokumen yang telah diambil berkenaan sama ada ia berunsur rasuah dan orang ramai diminta agar bersabar sehingga SPRM selesai menjalankan siasatan terhadap isu tersebut,” katanya lagi.
Semalam Menteri Pendidikan, Dr Maszree Malik berkata, keputusan berhubung isu terbabit akan diumumkan hari ini.
Sarawak Report sebelum ini mendakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.
Pelaksanana projek itu dikatakan melangkaui proses biasa yang ditetapkan Kementerian Pendidikan, yang mana tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka. – MalaysiaGazette