Home Nasional Tiga Ahli Lembaga Pengarah HRDF letak jawatan – Kulasegaran

Tiga Ahli Lembaga Pengarah HRDF letak jawatan – Kulasegaran

Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran
Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran

PUTRAJAYA – Tiga ahli Lembaga Pengarah Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang didakwa terlibat dalam pengambilan projek latihan melepaskan jawatan mereka semalam.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, pihaknya menerima keputusan perletakan jawatan ahli leembaga pengarah itu.

“Pada mulanya kami hanya menjangkakan seorang sahaja (berundur) tetapi akhirnya tiga orang letak jawatan,” kata beliau dalam sidang media di kementerian beliau hari ini.

Tambah Kulasegaran,  terdapat 11 lagi ahli lembaga pengarah HRDF yang tidak tertakluk kepada sebarang tindakan dari kementerian dan akan bertugas seperti biasa.

Khamis lalu Kulasegaran berkata, beliau mempunyai kuasa sebagai menteri untuk mengambil tindakan serius terhadap mana-mana individu dalam HRDF.

Kenyataan itu menyusul selepas wujud dakwaan terdapat individu dalam kalangan ahli lembaga itu sendiri terlibat dalam pengambilan projek latihan HRDF.

Ujar beliau, penggantian kepada tiga individu itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai tindakannya ke atas desakan pihak tertentu yang mahu Ketua Pegawai Eksekutif HRDF Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran meletakkan jawatan, Kulasegaran berkata, Vignesvaran perlu diberi peluang.

“Setakat ini kami belum menemui sebarang bukti menyokong dakwaan itu lagi,” katanya sambil menambah lebih banyak kerja pembersihan akan menyusul selepas ini. – MalaysiaGazette