KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Anne Ngasri menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai Exco Puteri UMNO bagi pemilihan parti yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.
Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 34, telah melepaskan jawatannya sebagai Ketua Puteri Bahagian UMNO Bukit Bintang yang telah disandang sebelum ini.
“Saya memohon agar sahabat seperjuangan semua memberikan sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk terus memberi bakti kepada UMNO.
“Marilah kita sama-sama bersatu memulihkan parti kesayangan kita semua ini demi menegakkan syiar Islam di Malaysia,” tulis menerusi Instagram Puteri UMNO Bukit Bintang.
Anne memegang jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang sejak 2013 hingga 2018 manakala suaminya, Datuk Mohd. Sumali Reduan adalah Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda UMNO.
Dalam pada itu, adik kepada pelakon Bell dan Darling Ngasri itu turut meminta semua ahli parti berkenaan tetap setia dengan perjuangan parti biarpun menempuhi kenangan yang agak perit pada PRU 14 lalu.
Jelasnya, mereka perlu cekal dan tabah dalam setiap ujian yang diterima sebagai pembangkang.
“Setelah melalui kenangan pertama kali yang agak perit buat kita semua ahli Umno pada pilihan raya lepas saya mengharapkan agar kita semua tetap setia dengan parti dan perjuangannya.
“Istiqomah dalam beribadah agar kita berbakti dengan akhlak dan harus cekal serta tabah dengan setiap ujian yang bakal diterima oleh kita sebagai pembangkang,” ujarnya. – MalaysiaGazette