KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berlapang dada walaupun berat hati untuk menerima keputusan parti-parti politik itu di Sarawak untuk tidak lagi menganggotai parti gabungan itu yang mencapai kejayaan besar pada pilihan raya negeri 2016.
Pengerusi Biro Media dan Komunikasi BN, Tan Sri Annuar Musa, BN amat memahami keputusan itu kerana ia sejajar dengan keperluan menangani situasi politik di negeri itu.
Jelas beliau, bibit-bibit awal kepada cadangan komponen BN Sarawak membuat penjajaran lanskap politik baru pada hari ini sebetulnya adalah dalam pengetahuan parti itu.
“BN percaya keputusan politik yang pragmatik itu dibuat setelah difikirkan dengan mendalam berdasarkan keutamaan kepentingan negeri dan rakyat Sarawak dalam kedudukan situasi politik semasa tanah air.
“BN akan terus menjalinkan hubungan yang baik dengan semua parti politik dalam negara lebih lebih lagi parti-parti yang mendukung prinsip perjuangan yang sama walaupun berada dalam gagasan yang berbeza,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Hari ini, parti-parti komponen BN Sarawak mengumumkan keluar parti itu untuk membentuk satu gagasan baru yang dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Empat parti komponen BN Sarawak terlibat adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada bulan lalu, BN memenangi 82 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan dan keputusan itu menyebabkan BN memiliki 60 kerusi di Parlimen.
Dalam pada itu, Annuar berkata, BN mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan parti komponen BN Sarawak atas segala kerjasama dan kesepakatan sepanjang perjuangan bersama .
“Ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak yang selama ini memberikan kepercayaan yang tidak berbelah-bahagi kepada Kerajaan BN.
“BN Pusat mengucapkan selamat maju jaya kepada GPS dalam meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat dan Negeri Sarawak.
“Hubungan baik antara BN dengan parti-parti di bawah GPS selama ini sudah pasti diteruskan agar BN tidak kehilangan rakan yang sangat akrab sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette