Home Utama Sultan Johor ampunkan Kamal Hisham

Sultan Johor ampunkan Kamal Hisham

kamal hisham
kamal hisham

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima permohonan maaf Kamal Hisham Ja’afar.

Menerusi satu kenyataan, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, permohonan maaf yang diusulkan peguam terbabit berkenaan segala perbuatan, persuratan dan perlakuannya sama ada dengan sengaja atau tidak terhadap baginda Sultan.

Menurutnya, perkenan Tuanku Sultan itu turut diiringi dengan pengampunan kepada Kamal yang mana tidak diletakkan sebarang syarat lain.

“Memikir patut serta mengambil berkat bulan Ramadan ini, dengan limpah keikhlasan Tunku Sultan yang amat sangat, suka sedia dan berkenan menerima permohonan maaf serta mengampunkan Kamal Hisyam Ja’afar tanpa sebarang syarat.

“Baginda juga berharap Kamal Hisham akan dapat meneruskan kehidupannya dengan kesejahteraan aman dan damai,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebentar tadi.

alt MAAF

Kamal Hisham sebelum ini dihadapkan ke mahkamah beberapa kali pada September 2015 selepas ditangkap di Singapura pada 2 September 2015 setelah menghilangkan diri ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama tiga tahun.

Dia dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM533,000, sembilan pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM150,000 dan enam pertuduhan di bawah Akta Syarikat.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Kamal Hisham didakwa menggunakan dua syarikatnya untuk memasuki perjanjian penyewaan ruang niaga bernilai RM515,000 dan RM18,000 di bangunan JB Sentral tanpa persetujuan Lembaga Pengarah syarikat Southern Ads pada Di­sember 2009 dan Oktober 2010.

Di bawah pertuduhan Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 pula, dia didakwa menerima sembilan keping cek berjumlah RM149,518.33 yang merupakan hasil aktiviti haram di Bank Muamalat Malaysia Bhd Cawangan Taman Johor Jaya di sini antara 18 Mac dan 5 Ogos 2010.

Difahamkan, lebih 25 saksi pendakwaan juga telah dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan. – MalaysiaGazette