Home Sukan Jurulatih Sepanyol dipecat serta merta

Jurulatih Sepanyol dipecat serta merta

Lopetegui semalam dinamakan sebagai jurulatih Real Madrid
Lopetegui dipecat sebagai jurulatih sepanyol selepas tak sampai 24 jam dilantik sebagai Pngurus Real Madrid hari ini.

SPAIN- Jurulatih skuad bola sepak Sepanyol, Julen Lopetegui dipecat serta merta tidak sampai 24 jam selepas dinamakan sebagai Pengurus baharu Real Madrid.

Ia mencetuskan kejutan besar peminat bola sepak Sepanyol mendengar berita pemecatan itu kerana Lopetegui sedang mengetuai pasukan berkenaan menjelang Piala Dunia Rusia 2018 yang akan bermula esok.

Persatuan Bola Sepak (FA) Sepanyol mengambil tindakan tergempar itu selepas tercetus keraguan berikutan penamaan Lopetegui sebagai bos Los Blancos semalam menggantikan Zinedine Zidane.

FA Sepanyol hari ini telah memanggil untuk satu sidang media tergempar susulan pengumuman Real Madrid melibatkan Lopetegui semalam.

Presiden FA Sepanyol, Luis Rubiales terkilan dan kecewa dengan tempoh masa pengumuman itu dibuat kelab gergasi Sepanyol itu.

Bekas pemain Real Madrid yang kini menyandang jawatan sebagai Pengarah Sukan FA Sepanyol, Fernando Hierro difahamkan berada dihadapan untuk mengambil alih tugas pasukan kebangsaan di kempen piala dunia.

Sepanyol akan memulakan misi pemburuan trofi berprestij di dunia itu dengan melawan Portugal yang dianggap ujian getir pada malam Jumaat ini.

Beberapa pemain dari skuad kebangsaan itu yang sudah mendengar awal berita itu dikatakan merayu FA supaya memberi sedikit masa kepada Lopetegui untuk meneruskan misinya sehingga tamat piala dunia.

Namun FA tdak berpuas hati dengan cara dan sikap Lopetegui dalam perkara itu.

alt luis Rubiales pc
Sidang media President FA Sepanyol Luis Rubiales mengumumkan pemecatan Lopetegui berkuatkuasa serta merta

“Kami berterima kasih atas segala sumbangan Lopetegui selama ini yang menguruskan pasukan dengan terbaik sehingga membawa kami ke Rusia tetapi kami terpaksa memecat dia.

“Saya tak rasa ia sebagai khianat. Masalah sekarang ialah proses itu ( pelantikan sebagai jurulatih Real Madrid ) dibuat tanpa penyertaan dan pengetahuan FA Sepanyol.

“Ia sesuatu yang tidak patut dinafikan.Rundingan (antara Lopetegui dan Madrid) berlaku tanpa memaklumkan kepada FA dan kami hanya dimaklumkan mengenainya lima minit sebelum kenyataan media rasmi pelantikan dia dikeluarkan oleh kelab itu,” katanya dalam sidang media pada Rabu.

Beliau berkata, adalah penting untuk FA memastikan pasukan kebangsaan mempunyai seorang jurulatih yang cemerlang dan juga kemenangan dalam piala dunia.

“Kami perlu bertindak dalam hal ini secara serius.Mungkin ia satu tindakan sukar untuk diterima masa ini oleh skuad.

“Namun saya pasti ia akan menambah kekuatan kami.
“Saya telah bercakap dengan para pemain dan saya boleh menjamin mereka akan melakukan segala yang terdaya bersama jurulatih baharu nanti untuk membawa mereka sejauh yang mungkin dalam misi menjulang piala dunia kali ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette