WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata Korea Utara tidak akan menimbulkan ancaman nuklear kerana negara itu telah menamatkan program senjata mereka.
Selepas pertemuan bersejarah di Singapura pada Selasa lalu,Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengesahkan komitmen Pyongyang untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menamatkan sepenuhnya program nuklear di Semenanjung Korea.
Bagaimanapun, pengkritik dari Parti Demokratik menganggap perjanjian itu tidak lengkap.
Mereka juga berkata, presiden dari Parti Republikan membuat terlalu banyak janji kepada Jong-un yang kini berdepan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana program senjata dan nuklear.
Dalam pada itu, setibanya beliau di Washington, Trump mengumumkan pertemuan dengan Jong-un adalah satu kemenangan kepada keselamatan rakyat Amerika Syarikat.
“Tiada lagi ancaman nuklear dari Korea Utara. Mesyuarat dengan Kim Jong-un adalah satu pengalaman yang menarik dan sangat positif.
“Korea Utara mempunyai potensi besar pada masa depan,” kata Trump di laman Twitter beliau.-MalaysiaGazette