Home Politik Kajian IDE ditaja Azmin sekadar ‘syok sendiri’, bermotif politik

Kajian IDE ditaja Azmin sekadar ‘syok sendiri’, bermotif politik

KUALA LUMPUR – Kaji selidik yang dijalankan badan pemikir kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) sekadar ‘syok sendiri’, malah ketelunen kajian yang ditaja oleh Datuk Seri Azmin Ali itu juga boleh dipertikaikan.

AZMIN ALI
AZMIN ALI

Minggu lepas, IDE mengeluarkan hasil kajian yang antaranya memuji kerajaan PKR Selangor di bawah pentadbiran Azmin dan juga membuat kesimpulan kerajaan Pakatan di negeri kukuh serta stabil dengan sokongan kuat daripada rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, ia bukan suatu yang pelik apabila badan kajian yang ditaja itu sudah pasti akan memuji ‘tuan’ yang membayar mereka untuk menjalankan kajian tersebut.

“Satu perkara biasa apabila sesuatu kajian yang dibayar oleh Azmin, sudah pasti para pengkaji dan tukang ampu ini akan sebolehnya cuba menonjolkan imej baik dan bersih pentadbiran tuan yang membayar mereka iaitu Azmin, kononnya beliau adalah MB (Menteri Besar) yang baik.

“Kajian IDE ini tidak lebih sekadar bermotif politik dan boleh dipertikaikan ketulenannya memandangkan mereka ini diupah oleh Azmin sendiri, di sini sudah dilihat wujud konflik kepentingan (conflict of interest) dan seperti biasa pelbagai alasan akan dicipta untuk membela tuan mereka.

“Saya tidak melihat kajian ini boleh dijadikan satu kayu pengukur terhadap pentadbiran Azmin itu sendiri, memandangkan pelbagai masalah dan kontroversi yang terpalit dengan Kerajaan PKR Selangor tidak dijawab satu persatu dengan tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail juga membangkitkan mengenai skandal terpalit dengan pentadbiran Azmin dan gagal dijawabnya.

“Daripada isu skandal salah guna kuasa dalam isu penukaran status sebidang tanah di Paya Indah Wetlands, isu beg plastik, kadar wabak denggi yang tinggi di Selangor, masalah perumahan rakyat Selangor sehingga kontroversi pembantu Azmin yang hidup bermewah-mewahan, semuanya tidak dijawab oleh Azmin,” katanya.

Selain itu, lebih tidak masuk akal kata Ismail adalah kajian tersebut tidak pula menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar di mana calon yang diletak oleh Pakatan Harapan tewas kepada Barisan Nasional (BN).

“Mungkin pengkaji upahan ini terlupa mengambilkira kekalahan terbaharu semasa PRK Parlimen Sungai Besar lalu yang menyaksikan calon pilihan Pakatan Harapan tersungkur kalah kepada BN.

“Bukankah ini satu keadaan yang memalukan apabila kerajaan negeri yang diperintah PKR tewas kepada BN, bukankah itu petanda yang cukup jelas kegagalan Azmin di Selangor?” katanya.

Malah, kajian tersebut juga secara jelas menggambarkan sengketa antara Azmin dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila tidak ada langsung kajian dijalankan menyentuh isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Lebih menarik lagi, dalam kajian terbaharu IDE ini, nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail langsung tidak dipetik, jelas sekali sengketa Azmin terhadap Wan Azizah semakin ketara. Sayang Azmin ini lebih kepada Anwar,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata, UMNO tidak mengambil mudah hasil kajian tersebut dan akan bekerja dengan lebih kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Bagaimanapun, UMNO tidak akan tergugat dengan permainan politik seperti ini dan akan mengambil ia secara positif untuk bekerja lebih kuat dalam menyedarkan rakyat di Selangor mengenai kelemahan Kerajaan PKR yang terlalu sibuk bermain politik sehingga mengabaikan kepentingan rakyat,” katanya.

IDE ditubuhkan pada 2015 dengan Azmin menjadi penasihat kepada sebuah badan tersebut dan mereka yang menganggotainya juga terdiri daripada pemimpin pembangkang di negeri Selangor. – MalaysiaGazette