Home Nasional Dr Mahathir minta rakyat terima langkah penjimatan kerajaan

Dr Mahathir minta rakyat terima langkah penjimatan kerajaan

Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2018 menggesa rakyat menerima langkah penjimatan yang diambil oleh kerajaan pada ketika hutang negara yang tinggi.

Dr Mahathir berjanji Pakatan Harapan akan berusaha untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul dan berharap rakyat juga perlu menerima langkah penjimatan yang akan diambil oleh kerajaan bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan.

“Kerajaan Pakatan Harapan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.

“Tetapi untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil, dan wang yang tidak halal tidak lagi boleh diagih kepada rakyat untuk menawan hati.

“Dengan ini, orang ramai hendaklah terima keperluan berjimat bersama dengan Kerajaan,” beliau berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir juga melahirkan rasa syukur apabila proses peralihan kerajaan selepas pilihan raya umum lalu berjalan dengan aman tidak seperti yang berlaku di negara-negara luar lain.

“Negara baru-baru ini melalui proses pertukaran kerajaan. Buat pertama kalinya, parti yang sejak merdeka memerintah telah kehilangan kuasa.
“Alhamdulillah proses undian telah berjalan dengan aman, dan peralihan kuasa, walaupun tidak licin, masih aman dan teratur. Tidak terjadi rusuhan atau kekecohan sebagaimana di sesetengah negara lain,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, selepas mengambil alih tampuk pemerintahan didapati banyak kerosakan yang berlaku diluar jangkaan awal.

“Setelah mengambil alih pentadbiran, adalah jelas bahawa kerosakan yang berlaku pada negara adalah lebih serius dan di luar jangkaan awal. Hutang negara telah meningkat dengan begitu tinggi sekali,” katanya.

Menurutnya, jika negara aman dan selamat, pelabur akan melabur dengan banyak dan peluang pekerjaan akan bertambah, serta dapat menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan mereka yang pulang beraya di kampung halaman agar sentiasa memandu dengan cermat serta mengajak masyarakat bukan Islam untuk turut serta dalam sambutan Hari Raya bagi memupuk semangat perpaduan antara kaum di negara ini. – MalaysiaGazette