KUALA LUMPUR – Pelakon Datuk Aaron Aziz mengakui dia seorang bapa yang tegas terhadap tiga anaknya setiap kali tiba bulan Ramadan kerana tidak mahu mereka ambil acuh tak acuh mengenainya.
Jelas Aaron, dia mendidik mereka agar berpuasa seawal usia tujuh tahun kerana ingin mereka membiasakan diri dengan rukun Islam yang ketiga itu.
“Dua anak saya mula berpuasa ketika mereka berusia lapan tahun manakala yang bongsu tujuh tahun.
“Sebagai bapa saya memang tegas tentang berpuasa dan tidak mahu mereka ambil sambil lewa akan perkara itu.
“Sementara mereka masih kecil, saya mahu tegas tentang soal itu agar mereka terbiasa dengan tanggungjawab sebagai seorang Islam,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-bau ini.
Hasil perkongsian hidup dengan isteri, Datin Diyana Halik, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 13, Dwi Ariana, 11, dan Dahlia Arissa, 7.
Aaron menambah, dia tidak pernah mengamalkan langkah memberi ganjaran seperti wang atau hadiah dalam menggalakkan anak-anaknya berpuasa penuh dalam bulan Ramadan.
Sebaliknya kata Aaron, dia sentiasa mengingatkan mereka mengenai tujuan sebenar berpuasa dan keberkatan yang diperoleh sekiranya ia dilakukan kerana Allah tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Bagaimanapun kata Aaron, itu bukan bererti dia menentang sekiranya ada ibu-bapa memberi ganjaran dalam menggalakkan anak-anak mereka berpuasa.
“Tiada apa yang betul dan salah dalam memberi motivasi kepada anak-anak dan setiap orang ada cara masing-masing,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, sepanjang Ramadan lalu, dia memperlahankan aktiviti seninya dan memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan.
Namun ujarnya, dia juga baru sahaja selesai menjalani sebuah telefilem bersempena raya berjudul Renyai Takbir Raya. – MalaysiaGazette