Home Utama Dr Mahathir bersama ribuan jemaah tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara

Dr Mahathir bersama ribuan jemaah tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tiga kanan) diiringi Menteri Pertahanan, YB Mohamad Sabu (dua kanan) menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri bersama orang ramai sempena 1 Syawal dan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 JUN 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tiga kanan) diiringi Menteri Pertahanan, YB Mohamad Sabu (dua kanan) menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri bersama orang ramai sempena 1 Syawal dan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di sini bersama ribuan jemaah bagi meraikan kedatangan 1 Syawal.

Dr Mahathir yang berbaju Melayu ungu tiba di masjid itu pada 8.20 pagi bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Antara yang turut hadir ialah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Mahathir dan jemaah kemudiannya bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, yang juga bertindak sebagai khatib.

Sejurus selesai khutbah Aidilfitri, Dr Mahathir kemudian beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang bersalaman dan mengambil gambar bersama Perdana Menteri Malaysia ketujuh itu.

Sementara itu, Syaikh Ismail ketika menyampaikan khutbah bertajuk ‘Kasih Sayang Pelengkap Kesejahteraan’ mengingatkan para jemaah mengenai pentingnya sikap kasih dan sayang terutamanya dalam membentuk masyarakat yang sejahtera.

Menurutnya, sifat kasih sayang mampu melahirkan sifat-sifat positif seperti sifat sabar, bertolak ansur, toleransi, sopan santun dan pemaaf.

“Ia juga secara tidak langsung akan menghindarkan tercetusnya sifat-sifat yang tidak baik dalam hubungan sesama manusia dan mengelakkan daripada berlakunya konflik dalam masyarakat seterusnya mengekalkan keharmonian,” katanya.

Syaikh Ismail berkata Islam merupakan agama yang meraikan kepelbagaian dan perbezaan sama ada dari segi bangsa, bahasa dan kefahaman tertentu.

“Mereka dikurniakan peranan masing-masing bagi memakmurkan bumi ini. Dalam kepelbagaian inilah, kasih sayang memainkan peranan sebagai penghubung silaturahim sesama manusia.

“Sifat kasih sayanglah yang mendasari kepercayaan, kejujuran, empati, sokongan dalam sesuatu perhubungan sosial,” katanya.

— BERNAMA