KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pengumuman Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden UMNO sebagai bukti parti itu bersifat terbuka dan demokratik.
Kata bekas timbalan perdana menteri itu, pendirian Ahli Parlimen Gua Musang berkenaan bukti komitmen bahawa semua jawatan dalam UMNO terbuka untuk ditandingi dan lebih berdemokratik.
Pada masa yang sama Ahli Parlimen Bagan Datok itu menegaskan bahawa UMNO tidak harus terbelah dua seperti terjadi pada tahun 1987 biarpun keterbukaan diterjemahkan semula pelaksanaannya.
“UMNO sebaliknya harus terus diperkukuhkan biar pun kekecundangan telah membaluti prestasi dalam PRU 14 dengan menerapkan semangat bekerja sepasukan.
“Tugas menjaga jemaah UMNO adalah lebih penting daripada sesuatu jawatan yang ditandingi kerana sesuatu jawatan kelak merupakan suatu amanah dan bukan habuan politik dan UMNO kini terkeluar dari gelanggang kekuasaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Komen itu menyusul sejurus selepas Tengku Razaleigh mengumumkan beliau akan bertanding untuk jawatan nombor satu UMNO di mana Zahid terlebih dahulu yang telah mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan tertinggi itu sebelum ini.
Tambah Zahid, menjelang pemilihan parti 30 Jun ini, tempoh berkempen tidak harus dijadikan pentas untuk membunuh perwatakan calon-calon yang menawarkan diri sebaiknya berlu berteraskan persahabatan dengan semangat ukhuwah.
“Saya sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kelak menerima siapa sahaja yang menang untuk membentuk kepimpinan UMNO yang kuat.
“Kita hendaklah menjadikan pertandingan ini dengan niat untuk menghadapi seteru politik di luar sana dan bukan mencipta permusuhan sesama sendiri dalam parti.
“Jangan jadikan ‘menang jadi arang dan kalah menjadi abu’ sebagai tunjang pertandingan ini,” tegas pemimpin itu lagi. – MalaysiaGazette