Home Politik ADUN pembangkang persoal Mat Nadzari tukar alamat tempat mengundi

ADUN pembangkang persoal Mat Nadzari tukar alamat tempat mengundi

Mat Nadzari Ahmad Dahlan

SHAH ALAM – Bukan setakat persempadanan semula dibantah, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan tukar alamat pun dipertikaikan pembangkang.

Rasa tidak puas hati itu disuarakan ADUN Kuala Kubu Bharu (DAP), Lee Kee Hiong, yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar dan wajar dibantah.

“Mengapa Mat Nadzari tukar alamat tempat tinggal iaitu di Batang Kali? Adakah supaya dia boleh mengundi ditempat asalnya?

“Ini satu tindakan tiba-tiba yang dilakukan ADUN Batang Kali, yang sepatutnya dibantah. Tukar alamat, boleh. Tapi proses belah bahagi tak bantah,” katanya kepada media di sini, mempersoalkan tindakan Mat Nadzari bertukar alamat ke kawasannya di Batang Kali.

Kee Hiong turut mempersoalkan, alamat baharu yang dinyatakan itu tidak lengkap, sebaliknya hanya tertera Sungai Kamin iaitu sebuah kawasan perumahan lama.

Selain itu, katanya, pada masa sama pihaknya juga turut mengesan seramai 50 pengundi atau penyokong Mat Nadzari turut menukar alamat baharu ditempat sama iaitu Sungai Kamin.

Mengikut senarai persempadanan baharu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 5,590 pengundi dalam Parlimen Hulu Selangor dipindahkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Pengundi itu sebelum ini adalah pendaftar kawasan DUN Batang Kali. – MalaysiaGazette