Home Ekonomi Alibaba buka pejabat di Malaysia

Alibaba buka pejabat di Malaysia

KUALA LUMPUR – Alibaba Group Holding Ltd membuka pejabat nasional baru untuk kerjasama strategik dengan Malaysia, yang mana ia merupakan hab Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) yang pertama di luar China.

Dalam satu kenyataan hari ini, Alibaba berkata, pejabat baru yang terletak di The Vertical Bangsar South, menandakan usaha gergasi e-dagang untuk terus meningkatkan keupayaan teknologi PKS Malaysia dan usahawan muda, memberi sokongan dan platform untuk membantu mereka memacu eksport serta menawarkan program latihan yang luas dalam memanfaatkan inovasi digital dan peluang perdagangan.

Berfungsi sebagai ‘pusat penyelesaian sehenti’ untuk perniagaan tempatan, pejabat itu direka untuk melibatkan diri dengan rakan kongsi tempatan sedia ada, membantu perniagaan Malaysia mengenal pasti peluang perdagangan merentas sempadan global serta menyokong inovasi teknologi negara melalui pengkomputeran awan perkhidmatan,” katanya.

Alibaba melancarkan eHub pertama di Malaysia di bawah inisiatif eWTP, dengan memberi penekanan memudahkan eksport untuk PKS Malaysia dan mewujudkan infrastruktur untuk menyokong perdagangan global dengan perkhidmatan yang merangkumi e-dagang, logistik, pengkomputeran awan, pembayaran mudah alih dan latihan bakat.

Anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd, MA eLogistics Sdn Bhd telah membentuk usaha sama (JV) dengan Cainiao Smart Logistics Network (Hong Kong) Ltd (Cainiao HK) untuk pembangunan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) di KLIA Aeropolis.

Cainiao HK memiliki pegangan 70 peratus dalam usaha sama itu, yang akan dinamakan Cainiao KLIA Aeropolis Sdn Bhd, manakala MA eLogistics memiliki baki 30 peratus kepentingan.

Modal terbitan dan berbayar syarikat usaha sama itu berjumlah RM206.67 juta.

Cainiao HK adalah anak syarikat milik penuh Cainiao Smart Logistics Network (BVI) Ltd, yang pada gilirannya dimiliki sepenuhnya oleh Cainiao Smart Logistics Network Ltd (Cainiao Cayman). Cainiao Cayman adalah sekutu Alibaba Group Holding Ltd.

Sejak itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kumpulan di Malaysia untuk membina infrastruktur teknologi perdagangan global yang inklusif dan inovatif untuk PKS tempatan, termasuk penubuhan hab e- serantau Alibaba pertama di KLIA Aeropolis DFTZ Park dan penubuhan pusat data Internet Awan Alibaba, platform awan awam global pertama di Malaysia.

Dalam kenyataan itu, Alibaba turut mengumumkan ‘Minggu Malaysia’ di China, inisiatif promosi dalam talian khas yang bertujuan menarik pengguna China untuk membeli barangan Malaysia dari 6 hingga 12 Julai, 2018. – MalaysiaGazette