JOHOR BAHRU – Dua penganggur dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap pertuduhan melarikan diri dari lokap balai polis, minggu lepas.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Johor Bahru R.Salini menjatuhi hukuman itu selepas kedua-dua lelaki terbabit, Nolmat Halil Abd Jalil, 34, dan Muhammad Firdaus Irwan, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikenakan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, Nolmat Halil yang berasal dari Tanjung Sedili dekat Kota Tinggi dan Muhammad Firdaus dari Larkin Jaya, di sini, didakwa bersama-sama dengan sengaja lari dari lokap Balai Polis Gelang Patah, di Iskandar Puteri, pada kira-kira pukul 6.16 pagi, 11 Jun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Nolmat Halil dan Muhammad Firdaus memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan tidak mampu membayar denda dan Nolmat Halil turut memaklumkan mahkamah bahawa ibunya uzur dengan berkerusi roda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chan Lee Lee dan mahkamah kemudian memerintahkan hukuman terhadap kedua-duanya bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu 11 Jun lepas.
Sementara itu, Nolmat Halil turut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap satu pertuduhan samun ke atas seorang wanita, di Iskandar Puteri, awal bulan ini.
Dia dituduh menyamun harta wanita itu berupa beg tangan mengandungi sijil pendaftaran nikah, kad pengenalan wanita itu dan suaminya, tiga kad ATM, wang tunai RM150 serta satu telefon bimbit di Bulatan East Ledang, jalan menuju ke Forest City, Iskandar Puteri, kira-kira pukul 10.20 malam, 5 Jun lepas.
Nolmat Halil dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan turut dikendalikan Chan.
Hakim K.Rajeswari menetapkan 25 Jun ini untuk hukuman pertuduhan berkenaan. –BERNAMA