KUALA LUMPUR – Orang ramai yang mengharapkan penurunan harga barangan secara serta-merta dengan penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) nampaknya hampa apabila keadaan yang diharapkan itu tidak berlaku.
Salah satu contoh yang menonjol adalah membabitkan penjaja makanan yang mempertahankan bahawa harga tidak dapat diturunkan selari dengan pemansuhan GST.
Antara alasan yang diberikan ialah harga bahan mentah makanan yang dalam keadaan “terapung”, stok lama masih ada, serta kos lain seperti sewa yang kekal tinggi.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, Datuk Yow Boon Choon berkata, bukan semua bahan mentah yang digunakan penjaja makanan dikenakan GST sebelum ini.
Untuk bahan yang dikenakan GST sebelum ini, kos yang dihasilkan cukai itu telah pun diserap dan ditanggung oleh penjaja sehingga mereka tidak dapat memberi “diskaun” sempena dengan pemansuhan GST.
Katanya, banyak penjaja makanan mengadu walaupun GST dihapuskan, tetapi kos lain termasuk sewa masih tinggi.
“Penjaja juga mengadu bahawa perniagaan kurang baik selepas menaikkan harga jualan pada awal tahun, keadaan ini menyebabkan mereka tidak dapat menurunkan harga,” katanya kepada Sinchew Daily.
Menurut Boon Choon lagi, sesetengah penjaja juga berpendapat mereka tidak dapat menurunkan harga pada masa ini kerana GST belum dimansuhkan secara rasmi.
Katanya, penjaja mengamalkan pendekatan “pandang dan lihat” dan mungkin akan menurunkan harga pada bulan depan.
Menurut satu lagi laporan Sinchew Daily dari Taiping, hanya sebahagian kecil penjaja di utara Semenanjung yang menurunkan harga secara serta-merta selepas pemansuhan kutipan GST, walaupun penurunan harga disarankan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil.
Sesetengah penjaja dikatakan mendakwa mempunyai stok lama dan hanya boleh menyelaraskan harga selepas semua stok berkenaan dijual. – MalaysiaGazett
http://malaysiagazette.com/blog/2018/06/18/kesan-sifar-gst-dinilai/