KUALA LUMPUR – Senarai lengkap calon-calon yang layak bertanding jawatan di semua peringkat dalam UMNO sempena pemilihan pada 30 Jun ini dijangka diumumkan Rabu ini.
Ketua Urusetia Sekretariat Pemilihan UMNO penggal 2018-2021, Datuk Norazuwan Aziz berkata, senarai akhir calon yang layak bertanding akan dikeluarkan dalam laman web UMNO setelah proses saringan selesai.
“Kesemua 615 orang yang mencalonkan diri untuk jawatan semua peringkat sedang disaring lagi dan ia belum selesai.
“Begitu juga dengan proses semakan senarai calon ini dengan Jabatan Insolvensi yang masih belum selesai.
“Insyallah dalam dua hari ini apabila semua proses ini selesai termasuk semakan insolvensi, kita akan upload dalam laman web rasmi UMNO keputusan senarai calon yang layak bertanding,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Terdahulu beliau telah mengadakan proses cabutan undi untuk menentukan nombor calon bertanding di atas kertas mengundi di Auditorium Ibu Pejabat UMNO Menara Tun Hussein Onn.
Ditanya tempoh masa bagi semakan insolvensi, Norazuwan berkata pihaknya menjangkakan ia mengambil sekurang-kurangnya dua hari.
Malah kata beliau, daripada 612 calon yang menawarkan diri untuk bertanding semua peringkat, terdapat pertambahan tiga lagi calon tanpa menyatakan jawatan yang akan ditandingi.
“Selain itu akan ada juga calon yang mungkin hilang kelayakan bertanding hasil saringan tetapi nombor bertanding yang dilaksanakan hari ini tidak akan berubah.
“Pada Rabu ini Setiausaha Agung UMNO (Tengku Adnan Tengku Mansor) akan keluarkan kenyataan media, insyallah,” tegas beliau.
Dalam pada itu ditanya sama ada Jamal Yunos akan hilang kelayakan bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO kali ini, Norazuwan berkata Jamal tidak akan hilang kelayakan bertanding memandangkan dia masih lagi ahli parti yang berhak dan masih tidak bersalah kerana belum didakwa di mahkamah.
“Dia tak semestinya datang pada hari pemilihan, kalau tak hadir pun ia tak jejaskan hak dia bertanding,” ujarnya lagi.
Kali ini kira-kira 150,000 perwakilan UMNO akan mememilih kepimpinan baharu UMNO yang kini dibuka untuk bertanding kepada semua buat pertama kali dalam sejarah parti itu.
Dalam cabutan undi kali ini, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri untuk jawatan nombor satu parti itu memperolehi nombor 01.
Manakala seorang lagi calon Presiden, Khairy Jamaluddin dari Rembau (02) diikuti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (03).
Untuk Jawatan Timbalan Presiden, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan mendapat nombo 01 atas kertas undi diikuti Tan Sri Annuar Musa (02).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menawarkan diri bertanding untuk Naib Presiden pula mendapat nombor 01 atas kertas undi diikuti Datuk Seri Khalid Nordin.- MalaysiaGazette