Home Sukan England menang gol masa kecederaan

England menang gol masa kecederaan

Harry Kane. Foto Manchester Evening News.
Harry Kane. Foto Manchester Evening News.

VOLGOGRAD –  Pasukan popular, England membuka saingan di pentas Piala Dunia kali ini dengan kemenangan penuh dramatik 2-1 ke atas Tunisia, awal pagi ini.

Kapten The Three Lions, Harry Kane memulakan misinya untuk menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan meledak dua gol.

Kane yang tidak dikawal menjaringkan gol pertama pada minit ke-11 selepas tandukan John Stones ditampan keluar penjaga gol Tunisia, Farouk Ben Mustapha.

Bagaimanapun, kegembiraan skuad kendalian Gareth Southgate itu tidak bertahan lama selepas Tunisia dihadiahkan sepakan penalti apabila Kyle Walker melakukan faul ke atas Fakhreddine Ben Youssef.

England terus melancarkan serangan dalam babak kedua walaupun Tunisia tidak kurang mencemaskan lawan dengan serangan-serangan balas namun gagal mencemaskan pintu gol England.

Gawang Tunisia akhirnya dibolosi ketika perlawanan memasuki minit pertama masa kecederaan.

Kane sekali lagi berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Tunisia untuk menyudahkan tandukan yang dibuat Harry Maguire, susulan sepakan sudut Kevin Trippier.

Dua jaringan tersebut meletakkan penyerang Tottenham Hotspur itu bersama peledak Belgium, Romelu Lukaku, penggempur Sepanyol, Diego Costa namun di belakang penyerang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo yang mencetak tiga gol bagi mendahului senarai penjaring terbanyak setakat ini.

England akan bertemu pendatang baru, Panama dalam perlawanan kedua mereka di peringkat Kumpulan G pada 8 malam 24 Jun nanti sementara Tunisia akan menerima cabaran pendahulu kumpulan, Belgium sehari sebelumnya pada waktu sama. – MalaysiaGazette