Home Utama Penemuan baharu buka semula kes Altantuya – Ramkarpal

Penemuan baharu buka semula kes Altantuya – Ramkarpal

Peguam, Ramkarpal Singh (kiri) bercakap sambil diperhatikan bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu pada sidang media khas selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2018
Peguam, Ramkarpal Singh (kiri) bercakap sambil diperhatikan bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu pada sidang media khas selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2018
PUTRAJAYA – Kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu dijangka dibuka semula berikutan terdapat penemuan baharu yang bakal merungkai dalang di sebalik kes berprofil tinggi itu.
Peguam Ramkarpal Singh menjangkakan kes tersebut tidak mengambil masa yang lama untuk dibicarakan semula berikutan penemuan terbaharu itu.
“Kita ada penemuan bukti baharu yang mencukupi termasuk di dalam negara untuk meneruskan siasatan semula kes ini untuk mengetahui siapa yang mengarahkan pembunuhan itu.
“Apabila berjumpa dengan dia (Tommy Thomas), sebagai seorang Peguam Negara yang baharu, beliau menyemak semula fail-fail lama kes berkenaan dari segi jenayah dan juga aspek sivil.
“Memandangkan kes sudah 12 tahun, saya agak terkejut dia sempat menyemak dan berpengetahuan mengenai perkembangan kes ini,” katanya yang bertindak sebagai peguam bapa Altantuya, Setev Shaariibuu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas bertemu Tommy Thomas bersama Setev di Jabatan Peguam Negara.
Ram Karpal dan Setev bertemu Tommy pukul 2.35 petang dan mengadakan perbincangan selama sejam setengah sebelum bercakap kepada pemberita.
Ditanya mengenai pertemuan itu, Ram Karpal berkata, pertemuan pihaknya Tommy dan juga Peguamcara Negara melibatkan perbincangan mengenai kes sivil dan jenayah dan penyelesaian selain hala tuju untuk menyegerakan perkara ini.
Tambah beliau, Tommy telah mendengar segala pendapat dan input yang diketengahkan pihaknya untuk  mengendalikan kes Altantuya itu.
Bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu bercakap pada sidang media khas selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2018
Bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu bercakap pada sidang media khas selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2018
Beliau turut menasihatkan kliennya Setev dan peguamnya dari Monggolia tentang beberapa perkara penting yang perlu diteliti sebelum bertindak lanjut.
“Pembukaan semula kes Altantuya memang dibincangkan, termasuk kes saman sivil September ini dan juga cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Peluang siasat semula kes Altantuya memang wujud dan dia (Tommy) sangat optimistik selain beberapa idea yang akan saya utarakan kepadanya dalam masa terdekat ini,” ujar beliau.
Ditanya mengenai sebarang indikasi siasatan semula itu berkemungkinan dibuka pada akhir tahun ini, Ram berkata” saya tidak dapat sebarang indikasi mengenai tempoh masa memulakan siasatan semula itu.
“Yang pasti bukti penemuan lama dan baharu akan digunakan dalam siasatan apabila dibuka kelak dan yang pasti kita tidak akan melengah-lengahkan siasatan semula kes ini,” jelas beliau lagi.
Malah katanya,pihaknya juga mempunyai sebab yang munasabah untuk  membuka semula kes Altantuya.
Disoal mengenai motif penubuhan RCI, Ram Karpal menambah ia dicadangkan untuk meneliti kes Altantuya sekiranya kes tak dapat diselesaikan menerusi siasatan jenayah.
alt MGF19062018_SETEV SHAARIIBUU13
Peguam, Ramkarpal Singh bercakap pada sidang media khas selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2018
“RCI PM (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan nasihat YDPA dan berbincang dengan AG. Lagipun ia (RCI) alternatif sahaja dalam kes ini kerana kalau kes ini boleh diselesaikan melalui siasatan lanjut kita tak perlukan RCI.
“AG juga dimaklumkan bahawa Sirul (Sirul Azhar Umar) juga tak perlu diekstradisi dari Australia dan dibawa pulang pada waktu ini, yang kita mahu buka semula kes ini, saya cadangkan tidak sesuai dan tak perlu.
“Status Sirul tak berubah sebab hukuman gantung sampai mati ke atas tidak akan berubah,” tegasnya lagi.
Sementara itu, bapa mendiang Altantuya, Setev menegaskan dia mahu kes ini diselesaikan dan keadilan ditegakkan untuk kematian anaknya.
“Tiada mana-mana pihak yang membatasi undang-undang, dalam pertemuan dengan Tun M esok (rabu) saya hanya akan meminta beliau selesaikan kes ini,” katanya dalam bahasa Mongolia yang diterjemahkan oleh pengikutnya Tugs Bayar. – MalaysiaGazette