Home Ekonomi Jika pasaran pulih, dividen KWSP lebih tinggi tahun ini- Shahril Ridza

Jika pasaran pulih, dividen KWSP lebih tinggi tahun ini- Shahril Ridza

Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR- Tidak mustahil untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membayar dividen yang lebih tinggi pada masa hadapan sekiranya keadaan pasaran semakin pulih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, KWSP tidak pernah membuat sebarang ramalan berhubung pembayaran dividen pada masa akan datang.

Segala-galanya adalah tertakluk kepada prestasi pasaran, jelas beliau.

“Sebab utama mengapa KWSP terpaksa membayar dividen lebih rendah berbanding 2015 disebabkan peningkatan rosot nilai.”

“Sekiranya Bursa Malaysia kembali pulih tahun ini maka jumlah rosot nilai akan turut menyusut dan seterusnya pendapatan pelaburan kami terus stabil atau berkembang.”

“Saya rasa, kita akan lebih baik tahun ini,” katanya semasa sidang media berhubung prestasi KWSP tahun ini.

Tambah Shahril Ridza, indeks penanda aras FBM KLCI jatu sebanyak tiga peratus tahun lalu dan merupakan pasaran yang berprestasi rendah berbanding pasaran global yang lain.

Ini menyebabkan rosot nilai ekuiti KWSP berjumlah kira-kira RM5.88 bilion.- MalaysiaGazette.