PULAU PINANG – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa mengesahkan partinya menyerahkan nama beliau untuk salah satu jawatan menteri dalam barisan Kabniet Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, beliau menafikan akan dilantik sebagai menteri luar seperti senarai anggota Kabinet yang tular di media sosial minggu lalu.
Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar itu, Amanah mengambil keputusan menyenaraikan beliau antara calon menteri berdasarkan pengalaman dalam arena politik negara selain kepimpinannya dalam parti.
Dalam masa sama, beliau mengakui bersedia berkhidmat sekiranya diberi kepercayaan oleh Dr. Mahathir dan menganggapnya sebagai penghormatan serta amanah yang diberikan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya tidak pasti jawatan (portfolio) apa yang bakal diberikan, soalan ini hanya akan terjawab apabila pengumuman rasmi dibuat oleh Dr. Mahathir.
“Tetapi apa pun jawatan yang diberikan, saya menganggapnya sebagai amanah dan bersedia untuk berkhidmat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Arena of Spice, Bayan Baru, di sini petang tadi.
Sebelum ini, Mujahid disebut-sebut bakal dinamakan sebagai menteri luar dalam senarai penuh Jemaah Menteri yang ditularkan menerusi media sosial.
Senarai calon jemaah menteri itu didakwa akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas sambutan Aidilfitri.
Bagaimanapun, tidak ada mana-mana pihak mengesahkan senarai itu dengan Dr. Mahathir hanya dijangka mengumumkan senarai Kabinetnya sebelum Parlimen bersidang 16 Julai ini.
Setakat ini, hanya 13 menteri mengangkat sumpah jawatan masing-masing dengan Dr. Mahathir dilaporkan tidak mahu Kabinetnya memiliki lebih daripada 30 kementerian. – MalaysiaGazette