Home Ekonomi Inflasi Mei naik 1.8%

Inflasi Mei naik 1.8%

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi bagi bulan Mei 2018 meningkat 1.8 peratus kepada 121.1 berbanding 119.0 pada bulan yang sama tahun lepas.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks pengangkutan (+3.8 peratus), makanan & minuman bukan alkohol (+2.2 peratus), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.1 peratus), restoran & hotel (+2.1 peratus), kesihatan (+1.9 peratus) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (+1.5 peratus).

Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding bulan April 2018.

IHP bagi tempoh Januari-Mei 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Secara keseluruhannya, indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 2.2 peratus pada Mei 2018.

Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan ikan & makanan laut (+3.2 peratus), buah-buahan (+1.9 peratus), beras, roti & bijirin lain (+1.6 peratus), gula, jem, madu, coklat & manisan (+1.2 peratus) dan daging (+1.0 peratus).

Sebaliknya, indeks bagi subkumpulan Sayur-sayuran turun 3.0 peratus pada Mei 2018 berbanding Mei 2017.

Penurunan ini adalah disebabkan oleh indeks barangan yang menunjukkan penurunan di kebanyakan negeri seperti tomato (-12.9 peratus), terung (-9.1 peratus), kobis bulat (-2.4 peratus) dan sawi (-2.0 peratus).

Sementara itu, indeks makanan di luar rumah meningkat 3.7 peratus pada Mei 2018. – MalaysiaGazette