Home Nasional Tun M sokong kes bunuh Altantuya dibuka semula

Tun M sokong kes bunuh Altantuya dibuka semula

Peguambela, Ram Karpal Singh (tengah) diiringi bapa Altantuya Shaariibuu, Dr. Shaariibuu Setev (dua kanan) bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang dipercayai berbincang mengenai kes pembunuhan anaknya, Altantuya Shaariibuu di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong penuh tindakan membuka kembali fail siasatan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Walaupun sebelum ini, siasatan pernah dijalankan, namun sehingga kini keluarga mendiang masih kabur dengan apa yang terjadi kepada Altantuya.

Malah rakyat di negara ini terus diselebungi pelbagai tanda tanya terhadap kes yang berlaku 12 tahun lalu itu.

Ini berikutan individu atau kumpulan yang telah mengarahkan pembunuhan berprofil tinggi sehingga hari ini tidak pernah didedahkan oleh pihak berkuasa.

Namun demikian, masa kini telah berubah dan fail penyiasatan akan dilakukan secara menyeluruh dan antara saksi penting seperti Deputi Supritenden Musa Safri juga dijangka akan dipanggil semula.

Menurut peguam, Ramkarpal Singh, anak guamnya, Dr. Setev Shaariibuu kini mampu menarik nafas kelegaan selepas mengadakan dua pertemuan penting antara Peguam Negara, Tommy Thomas dan Tun Mahathir baru-baru ini.

“Daripada kedua-dua pertemuan ini, kita jangka siasatan ini akan lebih bermanfaat. Tun Mahathir sendiri mahu siasatan ini dibuka kerana pengadilan perlu diberikan tetapi pada hemat beliau, semuanya harus mengikut lunas undang-undang.

“Kita mahu tahu siapakah sebenarnya yang telah mengarahkan pembunuhan ini dengan menggunakan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar?

“Mengapa kes siasatan terdahulu langsung tidak mendedahkan kita nama induvidu atau kumpulan terbabit? Semua mahu tahu tentang kebenaran ini agar pelaku sebenar dapat dihadapkan ke muka pengadilan malah mungkin berdepan dengan Kanun 302 jika sabit kesalahan. Yang menyuruh lebih berat hukumnya dari yang melakukan perbuatan tersebut,” katanya lagi.

alt MGF20062018_SETEV BERTEMU MAHATHIR07
Bapa Altantuya Shaariibuu, Dr. Shaariibuu Setev (tengah) bersama Peguambela, Ram Karpal Singh (kiri) berjalan keluar dari Kompleks Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang dipercayai berbincang mengenai kes pembunuhan anaknya, Altantuya Shaariibuu di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2018.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar perkarangan Jabatan Perdana Menteri selepas mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir bersama Setev, konsulat Mongolia serta seorang penterjemah.

Sebelum ini, Presiden Mongolia, Battulga Khaltama pada 18 Mei lalu turut meminta Tun Mahathir membuka semula siasatan kes berkenaan.

Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Gelugor semalam membuat kejutan dengan mendedahkan pihaknya mempunyai bukti baharu berhubung kes pembunuhan berprofil tinggi itu ketika mengadakan pertemuan bersama Tommy.

Altantuya yang merupakan wanita kelahiran Ulan Bator dibunuh antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan pukul 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16736, Mukim Bukit Raja, Klang.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Azilah Hadri dan Sirul Azhar selepas didapati mereka bersalah melakukan pembunuhan itu antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

Namun Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara telah melepas dan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah Hadri selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Dalam pada itu, menurut bapa Altantuya, beliau dapat merasakan  keadilan untuk anaknya akan terlaksana selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

“Saya hanya mahu keadilan untuk pembunuhan anak perempuan saya,” katanya hiba. – Malaysia Gazette