Home Ekonomi Shell jual aset di Norway, Malaysia

Shell jual aset di Norway, Malaysia

Shell

LONDON/ OSLO- Royal Dutch Shell mengumumkan penjualan aset minyak dan gasnya di Norway dan Malaysia bernilai lebih AS$1.3 bilion, sekaligus menghampiri sasarannya untuk melupuskan aset berjumlah AS$330 bilion menjelang hujung tahun ini.

Syarikat tersebut bersetuju untuk menjual aset-aset berkenaan kepada pengeluar minyak dan gas Norway yang disokong oleh firma ekuiti swasta, Seacrest Capital, yang melibatkan 45 peratus kepentingan dalam lapangan luar pesisir Draugen Norwegian dan 12 peratus blok di Gjoa pada harga keseluruhan sebanyak AS$566 juta.

Terdahulu, Shell mengumumkan pemuktamadan penjualan 15 peratus kepentingan dalam LNG Malaysia Tiga kepada Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak pada harga AS$750 juta.

Shell komited terhadap pelan pelupusan selama tiga tahunnya selepas membuat keputusan untuk mengambil alih BG Group pada 2015, urusniaga bernilai AS$54 bilion yang dimuktamadkan pada Februari 2016.

Pengumuman terbaharu itu menjadikan keseluruhan aset yang telah dilupuskan atau telah dipersetujui untuk dijual sejak 2015 adalah sekitar AS$25 bilion, demikian menurut pengiraan Reuters.- MalaysiaGazette