KUALA PERLIS – Sebuah feri bersama 432 penumpang terkandas lebih enam jam di beting pasir muara Kuala Perlis, kira-kira 0.8 batu nautika dari Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis di sini, malam tadi.
Ketua Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata feri berkenaan dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis, namun ketika menghampiri terminal feri kira-kira pada pukul 8 malam, ia terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanan.
“Usaha memindahkan penumpang dan 12 kru feri dilakukan bersama pasukan Polis Marin, Kastam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak Hospital Tuanku Fauziah serta komuniti nelayan yang menggunakan bot sampan fiber yang diuruskan oleh syarikat pengendali feri tersebut.
“Bantuan makanan dan minuman ringan juga diberikan kepada penumpang yang terkandas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata proses pemindahan penumpang yang bermula pada pukul 12.15 tengah malam, tamat pada pukul 2.30 pagi tadi dan semua penumpang berada dalam keadaan selamat.
Nurulazme berkata siasatan awal mendapati punca kejadian ialah kerana feri tersebut tersasar dari laluan asal.
Katanya keadaan cuaca agak baik pada waktu itu, namun keadaan hari yang sudah gelap serta angin agak kencang iaitu 14 knots menyebabkan feri itu tersasar.
“Bagaimanapun punca sebenar kekandasan feri tersebut masih belum dapat dipastikan, siasatan terperinci akan dilakukan oleh Jabatan Laut Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihak Maritim Malaysia bersedia mengkoordinasikan Bantuan Bencana dan melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut pada bila-bila masa.
Katanya sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.
— BERNAMA