KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul kaunter ketiga paling rugi di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan media bahawa harga perkhidmatan jalur lebar Malaysia dijangka susut sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun ini.
Pada pukul 10.05 pagi ini, saham syarikat telekomunikasi utama itu merosot 35 sen atau 9.64 peratus kepada RM3.28 berbanding RM3.63 sewaktu ditutup semalam dengan 22.14 juta saham saling berpindah tangan.
Sewaktu pasaran dibuka pagi ini, TM susut dua sen kepada RM3.61.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata penurunan harga perkhidmatan jalur lebar itu adalah berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lepas.
“Pihak-pihak yang berkaitan kini dalam perbincangan mengenai penetapan harga borong dan proses tersebut dijangka berakhir pada Julai atau Ogos. Selepas itu pakej jalur lebar pada harga lebih rendah akan diperkenalkan kepada pengguna,” katanya.
Gobind berkata perbincangan antara syarikat telekomunikasi juga akan akan diadakan mengenai kemungkinan rebat itu akan diberikan kepada pelanggan.
— BERNAMA