Home Politik Konspirasi terancang jatuhkan saya, kata Idris Haron

Konspirasi terancang jatuhkan saya, kata Idris Haron

Idris Haron.
Idris Haron.

MELAKA – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Idris Haron mendakwa tindakan anggota jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu yang mengemukakan usul supaya dirinya meletak jawatan adalah konspirasi terancang untuk menjatuhkannya.

Idris yang akan mempertahankan jawatan ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan peringkat bahagian 30 Jun ini turut mendakwa sidang media diketuai timbalannya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah telah dirancang serta diatur lebih awal.

Katanya menerusi usul yang dikemukakan itu beberapa kelemahan ditunjukkan oleh kumpulan berkenaan antaranya alasan yang umum, prosedur lemah bercampur emosi serta kenyataan tanpa fakta dan berasas dendam dengan desakan supaya undi tidak percaya dilakukan terhadap dirinya.

“Apabila melihat ada yang tidak kena dan dipengaruhi emosi, selaku pengerusi saya mengumumkan mesyuarat itu ditangguhkan,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Pada mesyuarat jawatankuasa bahagian itu yang berakhir tengah malam tadi, anggota jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu mengemukakan usul Idris mengambil tanggungjawab atas kekalahan UMNO di Parlimen Tangga Batu dan negeri Melaka dengan meletak jawatan ketua bahagian serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.-BERNAMA