Home Politik Pemuda harus buang budaya elit – Asyraf

Pemuda harus buang budaya elit – Asyraf

Dr Asyraf Wajdi
Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baharu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berjanji akan berusaha untuk mengajak semua ahli pergerakan itu untuk membuang budaya elit dan bangsawan dalam kalangan sayap itu kelak.

Menurut beliau, Pemuda UMNO perlu lebih merapati rakyat di peringkat akar umbi dan merasai denyut nadi rakyat bagi membolehkan parti itu diterima kembali pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita harus membuang ‘pakaian elit dan bangsawan’ yang dipakai selama ini.

“Apa yang kami akan buat selepas perbentukan exco ialah kita akan jelajah ke seluruh 191 bahagian, dan kita akan tidur di rumah ketua pemuda cawangan di kampung-kampung,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diangkat menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baharu menggantikan Khairy Jamaluddin.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Raof Yusof.

Ujarnya, Pemuda UMNO selepas ini digesa untuk menjiwai semangat kesederhanaan dan sentiasa bersama rakyat.

“Kita akan buang budaya ini dan akan bersama Pemuda dan ada program pembudayaan halaqah bersama mereka. Menjiwai dan cuba untuk mendapatkan apa juga maklum balas daripada rakyat.

“Yang penting, kita kena dengar suara hati rakyat,” katanya yang ditemani Naib Ketuanya, Shahril Hamdan.

Hadir sama adalah Datuk Noraini Ahmad yang diangkat sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ditanya mengenai perkembangan hubungan UMNO dengan parti komponen lain, Asyraf berkata, parti tunjang BN itu harus fokus kepada kebangkitan parti itu sebelum memfokuskan kepada isu parti komponen lain.

“Keutamaan hari ini adalah untuk kita memperkukuhkan UMNO. Ini pernah berlaku pada 1969 dahulu, UMNO pada kali pertama Perikatan kita kalah, kita tidak hilang undi daripada rakan-rakan bangsa lain dan sejarah telah membuktikan kalau UMNO itu kukuh, UMNO diterima oleh rakyat kerana sendirinya parti-parti komponen juga akan kukuh,” katanya lagi. -MalaysiaGazette