Home Nasional Lim Guan Eng cuba rosakkan perpaduan rakyat – Khairy

Lim Guan Eng cuba rosakkan perpaduan rakyat – Khairy

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Tindakan Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan media kerajaan bukan sahaja mencabar pendukung bahasa rasmi Persekutuan bahkan merosakkan usaha menyatupadukan negara dengan satu bahasa.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) perlu menjadi contoh dalam memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan negara.

“Jika kenyataan tersebut adalah untuk kegunaan pembaca antarabangsa sekalipun, kenapa tidak kenyataan itu dibuat dalam Bahasa Inggeris seperti mana yang dilakukan Kementerian Kewangan di awal pentadbiran Kerajaan PH?

“Tanpa sebab munasabah dalam menggunakan bahasa Mandarin, kerisauan saya adalah tindakan ini akan terus meniup api kemarahan kepada segmen majoriti di Malaysia yang sudah sedia ada rasa tercabar sejak beberapa minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu yang mengeluarkan kenyataan media Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin pada Khamis yang mendapat cemuhan pelbagai pihak.

Khairy Jamaluddin jug berkata, tindakan Guan Eng yang mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan tidak boleh diterima sama sekali.

“Walaupun kita hidup dalam era globalisasi, Bahasa Malaysia (atau Bahasa Melayu dalam Perlembagaan) telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan antaranya untuk menyemai perpaduan negara melalui bahasa.

“Tindakan Kementerian Kewangan yang mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin bukan hanya dilihat seperti memberi fokus hanya kepada pengguna bahasa tersebut..

“Bahkan beliau juga cuba untuk mengubah norma bahasa yang diguna pakai kerajaan,” katanya,

Bagaimanapun beliau tidak menghalang penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan itu di negara ini.

“Bukan niat saya untuk menghalang penggunaan mana-mana bahasa lain di Malaysia kerana itu adalah hak peribadi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette