Home Nasional Lodin tidak mahu dikaitkan dengan Najib

Lodin tidak mahu dikaitkan dengan Najib

1MDB

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin tidak mahu diheret ke dalam kontroversi berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tanggungjawabnya terhadap pengurusan dana syarikat tersebut.

Bekas-bekas ahli lembaga pengarah syarikat kontroversi itu, baru-baru ini kembali menjadi perhatian apabila Najib membuat kenyataan semasa ditemubual Reuters bahawa lembaga pengarah sepatutnya memberitahu beliau sekiranya ada salah laku di dalam 1MDB.

“Saya tidak boleh memberi komen kerana ia melibatkan undang-undang dan banyak isu lain.

“Saya tidak mahu terlibat dengan perkara tersebut. Biarkanlah.

“Siapa kami? Hanya orang kecil,” kata Lodin kepada The Malaysian Reserves.

Lodin dan ahli-ahli lembaga pengarah 1MDB yang lain telah meletakkan jawatan selepas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mengenai 1MDB dikeluarkan pada April 2016.

Seorang lagi ahli lembaga pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail yang juga pernah menjadi bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut juga enggan memberi sebarang komen ketika dihubungi. – MalaysiaGazette