KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mungkin tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ini kerana, bekas perdana menteri itu dijangka menghadapi pertuduhan melakukan penyelewengan, rasuah dan ‘banyak perkara lain’.
Kenyataan itu dibuat oleh Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif dengan Channel NewsAsia berhubung nasib Najib yang kini disiasat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bercakap dalam rancangan Channel NewsAsia’s Conversation With, Dr Mahathir berkata: “Saya berpendapat keputusan (untuk mendakwa beliau) perlu dibuat sekarang”.
Dalam temubual itu, Dr Mahathir juga mengulas mengenai nasib Najib yang disamakan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau percaya dakwaan terhadap Najib adalah berbeza.
“Kes ini lebih jelas … seluruh pilihan raya berdasarkan pertuduhan ini.
“Jadi orang tidak akan berkata kita menganiaya dia. Mereka tahu tentang perkara-perkara yang salah yang telah dilakukan olehnya,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir menjadi pengkritik Najib sejak tahun 2015 selepas pendedahan media mengenai penglibatan bekas perdana menteri itu dalam penyalahgunaan dana 1MDB.
Najib telah dipilih oleh Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri, juga yang menyebabkan beliau meninggalkan UMNO dan menyertai pakatan pembangkang.
“(Ada) kehilangan sejumlah wang yang besar dan kewujudkan wang dalam akaunnya.
“Semua perkara ini menunjukkan berlakunya jenayah … tetapi sebaliknya, jika anda mahu ke mahkamah, anda mesti berupaya membuktikan (ini) setiap kesalahan yang dibuat.
Perdana Menteri itu berkata, empat agensi sedang meneliti melihat pertuduhan jenayah yang didakwa dilakukan oleh Najib dan terpulang kepada Peguam Negara yang baru untuk “membawa kes-kes tersebut ke mahkamah”.
Kerajaan baru Dr Mahathir mendakwa telah dibelenggu oleh rasuah pentadbiran lalu, menyumbang kepada hutang dan liabiliti melebihi AS$251 bilion.
Satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB, selain menyaksikan perubahan dalam pelantikan pegawai-pegawai utama termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia.
Ribuan kakitangan yang menerima pelantikan politik juga diberhentikan.
“Kerana mereka terlibat dalam rasuah dan salah urus dana kerajaan, kita perlu mengeluarkan mereka.
“Ini bukan persoalan kerana mereka mungkin menyokong kerajaan terdahulu, maka kami membuangnya … ini disebabkan salah laku,” katanya.
Walau bagaimanapun, Dr Mahathir mengakui rasuah wujud semasa kali pertama dalam pentadbirannya antara tahun 1981 hingga 2003.
“Saya harus mengakui rasuah adalah sesuatu yang lazim, berlaku dalam mana-mana kerajaan, termasuk masa ketika saya menjadi perdana menteri.
“Tetapi sudah tentu, tahap itu tidak begitu tinggi, tetapi apabila perdana menteri dipercayai menjadi korup, maka anda akan mendapati kakitangan di bawahnya juga mempunyai kecenderungan, kurang berhati-hati apa yang mereka lakukan sama ada betul atau salah.
“Oleh itu, ia berlaku lebih banyak pada masa Najib kerana beliau sendiri dikenali di seluruh dunia kerana korup dan telah mengambil wang kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette