KUALA LUMPUR – Satu senarai penuh menteri dan timbalan menteri Kabinet tersebar di media sosial sejak semalam.
Beberapa nama pemimpin daripada empat parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) tertera pada senarai yang tular itu yang melibatkan sebanyak 16 kementerian.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada senarai jawatan tersebut sahih ataupun tidak.
Memetik laporan Harian Metro Online, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, beliau tidak menerima sebarang surat jemputan untuk pelantikan ahli Kabinet dan hanya mengetahui perkara itu menerusi akhbar.
Katanya, dia tidak boleh memberi sebarang kenyataan memandangkan belum ada pengumuman rasmi dilakukan oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman yang dikatakan dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan juga enggan mengulas mengenai senarai menteri tambahan itu.
Syed Saddiq berkata, beliau tidak layak untuk memberi sebarang kenyataan memandangkan perdana menteri belum membuat pengumuman rasmi.
Dalam satu sidang media yang diadakan semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan baki senarai nama Kabinet kerajaan sudah dimuktamadkan dan hanya menunggu masa untuk diumumkan pada upacara mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, Dr Mahathir juga dilaporkan berkata, pentadbirannya tidak akan memiliki lebih daripada 30 kementerian.
Dalam pada itu, Istana Negara dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa istiadat mengangkat sumpah baki barisan anggota Kabinet akan berlangsung di Istana Negara pada 2 Julai ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sudah menerima senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet pada 20 Jun lalu. – MalaysiaGazette