Home Nasional Harga rumah terbengkalai tidak turun – Zuraida

Harga rumah terbengkalai tidak turun – Zuraida

Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 26 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Nilai bagi hartanah projek-projek rumah terbengkalai tidak akan turun meskipun kerajaan mengambil alih.

Lantaran itu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mengenal pasti punca mengapa projek berkenaan tidak diteruskan oleh pemaju dahulu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, hampir 75 peratus projek terbengkalai khususnya perumahan swasta terbiar sejak 30 tahun berjaya disiapkan.

“Saya tidak nampak bagaimana (ambil alih) boleh menurunkan harga hartanah kerana kita kena tahu apa isu-isu dalam projek terbengkalai ini, sama ada kewangan atau sebagainya .

“Saya lihat banyak projek terbengkalai terbiar sejak 20 dan 30 tahun lalu tiada apa dilakukan, tempoh itu terlalu lama.

“Ia satu pembaziran kepada negara dan perlu dibangunkan semula agar boleh memberi pulangan kepada ekonomi negara,” katannya pada sidang media di sini, hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 257 projek perumahan dikategorikan sebagai projek terbengkalai merangkumi pembangunan unit kediaman yang kebanyakannya melibatkan sektor swasta.

Zuraida juga berkata, meskipun 198 projek terbengkalai telah disiapkan, namun tempoh menyiapkan projek-projek perumahan itu terlalu panjang dan menyebabkan negara kehilangan sumber pendapatan dari segi cukai pintu dan sebagainya.

“Kalau kita tengok angka ini, banyak yang sudah selesai tapi tempoh menyiapkan projek ini begitu lama

“Sebab itu kita mahu semak balik terma perjanjian supaya tempoh nak selesaikan projek terbengkalai itu sesuai untuk kita ambil alih dan tempoh yang patut kita berikan untuk membuat meneruskan semula projek terbengkalai terbabit,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak menolak kemungkinan satu jawatankuasa khas bakal ditubuhkan bagi memantau dan mengawal selia projek-projek terbengkalai bagi memudahkan ia diambil alih atau diteruskan oleh pemaju lain.

“Satu jawatankuasa juga harus ditubuhkan untuk mengkaji semula polisi sedia ada untuk kita memanfaatkan projek terbengkalai ini agar kita boleh membangunkan semula atau mengambil alih dalam jangka masa yang sesuai.

“Jika proses ambil alih projek-projek terbengkalai terlalu lama, saya rasa kita kena semak balik untuk pendekkan jangka masa itu agar KPKT boleh mengambil tanah-tanah ini untuk pembangunan perumahan,” katanya.

Katanya lagi, beliau turut memandang serius terhadap projek-projek perumahan terbengkalai, yang mana Selangor mempunyai paling banyak pembangunan kediaman yang terbiar sejak 20 lepas.

“Projek terbengkalai ini melibatkan perumahan awam dan swasta, kebanyakannya swasta, tapi saya tiada angka lengkap, dan Selangor paling banyak, dalam kes ini saya mesti lebih serius (tangani),” katanya lagi. – MalaysiaGazette