KUALA LUMPUR – Selama 48 hari mentadbir, kerajaan Pakatan Harapan disifatkan sebagai ‘Okay’ dalam isu pengguna setakat ini oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kemampuan kerajaan yang menggantikan Barisan Nasional (BN) semenjak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu akan terbukti apabila kehidupan rakyat Malaysia menjadi lebih baik.
“Setakat ni ‘okay’ kot. Kita perlu hari ini lebih elok daripada semalam, esok lebih elok, lebih baik lagi.
“Kita harapkan kerajaan hari ini mendengar rungutan rakyat, denyut suara rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pandangannya tentang kerajaan Pakatan Harapan yang diberikan mandat oleh rakyat memegang tampuk pentadbiran.
Tambah beliau, badan bukan kerajaan (NGO) itu akan menjadi terus memainkan peranan sebagai penegur kerajaan yang memerintah apatah lagi ia membabitkan pengguna.
Beliau turut menyentuh cadangan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran yang hanya mahu menggunakan khidmat pekerja tempatan sahaja sebagai tukang masak di semua restoran akan menjejaskan pihak yang berkepentingan.
Malah Nadzim berpendirian kerja-kerja dalam bidang tertentu termasuk perindustrian, perladangan dan perkilangan masih memerlukan pekerja asing.
“Kenyataan Menteri Sumber Manusia yang tidak mahu ambil pekerja luar, kita pun bukan suka sangat pekerja luar kalau boleh kita nak 100 peratus pekerja kita.
“Kalau hotel nak pakai pekerja tempatan ganti tukang masak puluh-puluh ribu itu satu perkara, yang memerlukan pembinaan ladang kelapa sawit ini memerlukan pekerja luar. Jadi bila menteri buat kenyataan yang pada kita menggugat kita akan counter (balas dan bersuaralah).
“Jadi nampak kita NGO tidak memihak kepada mana-mana,” ujarnya. – MalaysiaGazette