Home Nasional Rosmah tiada kaitan dengan 1MDB seperti dakwaan WSJ

Rosmah tiada kaitan dengan 1MDB seperti dakwaan WSJ

Rosmah Mansor
Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang didakwa oleh media antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ).

Sebaliknya, menurut peguam, Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah dalam satu kenyataan berkata, dakwaan tersebut tidak berasas.

“Kami telah meneliti perkara-perkara yang dilaporkan dalam Wall Street Journal (WSJ), yang memetik sumber mendakwa bahawa Datin Seri Rosmah merupakan individu utama dalam dakwaan penyelewengan kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kami ingin ulangi di sini, bahawa anak guam kami tidak mempunyai kaitan, ataupun berperanan secara langsung dan tidak langsung dengan operasi harian syarikat tersebut, lebih-lebih lagi pengurusan kewangannya, atau mereka yang dilantik untuk mengawasi firma itu,” kata kenyataan itu.

Malah jelas kedua-dua peguam itu, sebagai isteri kepada perdana menteri pada waktu itu, Rosmah tidak terlibat dengan keputusan yang dibuat Najib.

“Ketika itu lagi, dengan status sebagai isteri Perdana Menteri, beliau telah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang ditangani oleh Najib malah apa jua keputusan juga tidak pernah dipengaruhi olehnya.

“Oleh itu, dengan mengaitkan Datin Seri Rosmah secara langsung kepada 1MDB, dan menimbulkan tuduhan terhadapnya, kami bimbang ia suatu usaha untuk mempengaruhi hasil siasatan yang sedang dijalankan dan paling teruk untuk merosakkan imej Datin Seri Rosmah.

“Datin Seri Rosmah Mansor akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkenaan yang menyiasat perkara ini,” ujar mereka.

Laporan WSJ menyebut sumber-sumber yang tidak didedahkan oleh mereka dengan menggambarkan Rosmah berperanan sebagai kuasa besar dalam pentadbiran Najib. – MalaysiaGazette