Home Utama Kalah teruk PRU-14, pemimpin UMNO perlu minta maaf kepada ahli akar umbi

Kalah teruk PRU-14, pemimpin UMNO perlu minta maaf kepada ahli akar umbi

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berucap pada Program wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JUN 2018
Tengku Razaleigh Hamzah

PULAU PINANG – Pemimpin UMNO perlu turun padang memohon maaf kepada ahli-ahli parti itu di semua peringkat sama ada  cawangan, bahagian atau negeri  berikutan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat berikutan penolakan besar-besaran majoriti rakyat terhadap UMNO pada pilihan raya umum berkenaan.

Katanya, UMNO perlu mengakui penolakan rakyat itu adalah disebabkan persepsi dan penilaian rakyat terhadap pemimpinnya yang dilihat lalai serta tidak amanah dalam pentadbiran negara.

Jelas beliau, moral ahli akar umbi UMNO dan rakyat juga tercalar teruk selepas kekalahan pada PRU-14 sehingga dipandang rendah serta seolah-olah hilang pengaruhnya pada pandangan semua pihak.

“Sebab itu saya mencadangkan pemimpin tertinggi UMNO berjumpa dengan ahli akar umbi dan memohon maaf kepada mereka kerana kegagalan pemimpin menyebabkan parti ini ditolak.

“Sekurang-kurangnya, program sebegini dapat menaikkan semula semangat dan keyakinan ahli-ahli UMNO khususnya kepada parti ini selain menunjukkan kita juga bersedia untuk berubah dan menjadi lebih baik pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra bersama UMNO Pulau Pinang di sini hari ini yang dihadiri hampir kesemua pemimpin UMNO negeri.

Menurut Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, pemimpin UMNO seolah-olah terlupa mereka sebenarnya adalah hamba kepada rakyat ketika diberikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Malangnya, kata beliau, amanah itu tidak digalas dengan baik sehingga menghilangkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin UMNO.

“Rakyat melihat pemimpin UMNO tidak melaksanakan amanah yang diberikan dengan betul sehingga tampuk kepimpinan negara di rampas oleh Pakatan Harapan.

“Sebab itu selain untuk bertemu ahli akar umbi dan memohon maaf, program di semua peringkat itu juga bertujuan untuk mendekatkan semula UMNO dengan rakyat,” katanya.

Pada pemilihan UMNO yang akan berlangsung hujung minggu ini, Tengku Razaleigh bakal bersaing dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin serta empat lagi calon untuk merebut jawatan Presiden UMNO.

Empat lagi calon ialah Rahmat Azim Abdul Aziz; Rosile Saat; Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd .Yusof Musa @Jamaluddin. – MalaysiaGazette