Home Nasional Rosmah terkejut, barang rampasan ada yang bukan miliknya

Rosmah terkejut, barang rampasan ada yang bukan miliknya

Datuk Seri Najib Tun Razak. foto FAREEZ FADZIL, 22 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyatakan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor terkejut dengan pendedahan jumlah nilai rampasan oleh pihak berkuasa.

Katanya, beliau ada bercakap dengan isterinya mengenai perkara tersebut setelah pengumuman dibuat oleh pihak berkuasa pagi tadi.

“Saya fikir penilaian itu… dia (Rosmah) tidak percaya jumlahnya seperti itu. Dan beberapa barangan juga, seperti barangan kemas, ia mempunyai rekod bahawa ia dikirim. Jadi kita perlu mengenal pasti barang-barang itu dan memulangkannya (kepada pengirim),” kata Najib dalam satu temubual khas dengan Malaysiakini hari ini.

Katanya, terdapat barangan kemas yang dirampas bukan milik Rosmah.

Malah, terdapat juga barangan yang dirampas merupakan milik anak perempuannya Nooryana Najwa, suaminya serta ibu mertuanya.

Beliau juga mendakwa, pemilik barang kemas yang menghantar barangan tersebut kepada pihaknya untuk tujuan tontonan – kini membuat tuntutan supaya barang tersebut dipulangkan semula.

“Janganlah kita terus membuat kesimpulan. Benarkan kami memeriksa barangan tersebut secara individu,” kata Najib.

Beliau menambah, selepas senarai barangan yang disita itu diperiksa, terdapat beberapa perkara lain yang perlu diambil kira.

Perkara itu, antaranya seperti tarikh pembelian serta harga sesebuah batu yang perlu dinilai terlebih dahulu, kata Najib.

“Kita perlu tahu tarikh pembelian, seperti barangan kemas.

“Seperti yang anda tahu, harga bagi sebuah batu sama ada ia diperolehi atau yang dihadiahkan pada 20 tahun lalu, lebih rendah daripada harga yang dibayar kerana harga batu meningkat dengan begitu ketara bergantung kepada penilaiannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette