Home Dunia Tiga jam lebih untuk selamatkan mangsa gemuk

Tiga jam lebih untuk selamatkan mangsa gemuk

Mangsa terpaksa ditandu untuk dibawa ke hospital. foto Agensi

BEIJING – Selepas tiga setengah jam bertungkus-lumus, sekumpulan paramedik, polis, bomba dan ahli-ahli sukarelawan berjaya mengusung keluar seorang lelaki yang berat 200 kilogram dari kediamannya selepas terjatuh ketika mandi.

Media-media tempatan berkata, kumpulan paramedik dan polis yang dipanggil tidak mampu mengalihkan lelaki berkenaan.

Usaha untuk mengalihkan mangsa pada Sabtu lalu sukar disebabkan beratnya, saiz dan kedudukan koridor kediamannya di Nanjing, Jiangsu yang sempit.

Dia hanya berjaya dibawa masuk ke dalam ambulans selepas beberapa pihak terpaksa dipanggil untuk membantu termasuk Blue Sky Rescua, kumpulan bukan badan keuntungan yang terlibat dalam kejadian gempa bumi pada tahun 2008.

Polis berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 8.15 petang apabila seorang lelaki yang dikenali sebagai Zhu menelefon memaklumkan anak lelaki berusia 31 tahun itu jatuh dan tersekat antara tandas dan dinding rumah mereka.

Pasukan penyelamat terpaksa memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan mangsa yang sudah menahan kesakitan akibat terjatuh.

Mangsa terpaksa ditandu untuk dibawa turun dari kediaman sebelum dihantar ke hospital.

Menurut Zhu, anaknya tidak pernah keluar rumah selama dua tahun dan badannya telah meningkat sebanyak 60 kilogram sejak kebelakangan ini. – MalaysiaGazette