Home Dunia Diskaun 10% jika pengguna bawa bekas minuman sendiri

Diskaun 10% jika pengguna bawa bekas minuman sendiri

SEOUL – Penggunaan cawan pakai buang di semua kafe dan restoran di ibu negara Korea Selatan ini akan dikurangkan.

Sehubungan itu, Seoul akan memperkenalkan langkah bagi mengurangkan penggunaan cawan tersebut mulai Julai ini.

Kerajaan tempatan berkata, ia akan menjalankan pemeriksaan antara 9 hingga 25 Julai untuk melihat sama ada pemilik-pemilik restoran menggunakan cawan bukan pakai buang.

Langkah ini bertujuan untuk memastikan perjanjian yang ditandatangani oleh Kementerian Alam Sekitar, 16 perniagaan tempatan dan 21 jenama – mematuhi langkah menangani penggunaan barang-barang pakai buang.

Pasukan pemeriksaan akan memeriksa sama ada kedai yang mencadangkan kepada pelanggan menggunakan cawan bukan pakai buang atau memberi diskaun 10 peratus kepada pelanggan yang membawa bekas minuman sendiri.

Selepas pemeriksaan selesai, denda akan dikenakan ke atas kedai-kedai yang tidak mematuhi perjanjian, bermula pada bulan Ogos.

Denda yang dikenakan berbeza dan bergantung kepada bilangan pelanggaran dan saiz kedai. – MalaysiaGazette