KUALA LUMPUR- HeiTech Padu Bhd., dijangka berdepan dengan persekitaran yang mencabar tahun kewangan 2018.
Pengerusinya, Datuk Seri Hilmey Mohd. Taib berkata, keutamaan HeiTech adalah untuk mempertahan, mendapatkan semula dan meneroka.
“Kami akan mempertahankan apa yang kami ada, mendapatkan semula apa yang kami telah hilang dan terus meneroka pasaran, tawaran baharu serta teknologi dan trend terkini,” kata Pengerusinya, Datuk Seri Hilmey Mohd. Taib dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Syarikat tersebut merekodkan peningkatkan perolehan sebanyak 18 peratus kepada RM426.9 juta bagi tahun kewangan berakhir Disember 2017 berbanding RM362.6 juta yang direkodkan pada 2016.
Hilmey berkata, segmen teknologi maklumat (IT) kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan iaitu sebanyak RM322 juta atau 75 peratus pada 2017.
Segmen kejuruteraan menjadi penyumbang kedua terbesar bagi tahun 2017 dan telah memberi sumbangan signifikan kepada hasil Kumpulan sejak pemerolehannya pada dua tahun lalu.
Hasil daripada segmen ini meningkat sebanyak RM60.1 juta atau 290.6 peratus iaitu daripada RM20.7 juta pada tahun 2016 kepada RM80.7 juta pada tahun 2017.
Sejajar dengan peningkatan hasil, perbelanjaan keseluruhan operasi HeiTech turut meningkat daripada RM359.8 juta pada tahun 2016 kepada RM449.8 juta pada tahun 2017.
Selain itu, pada tahun 2017 HeiTech turut mengalami penyusutan sebanyak RM9.2 juta atas pelaburan dan aset tak nyata berikutan penilaian berterusan yang telah dijalankan.
Dari segi keuntungan, Kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM15.3 juta walaupun mencatatkan hasil yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Kemerosotan ini disebabkan oleh pemerolehan kontrak-kontrak baharu yang marginnya lebih rendah berbanding kontrak-kontrak utama yang mempunyai margin lebih tinggi yang telah berakhir pada tahun 2017.
“2017 merupakan tahun mencabar buat HeiTech dan anak-anak syarikat Kumpulannya. Perbelanjaan berhemat oleh sektor awam, peningkatan kos perniagaan dan pasaran yang semakin tepu dan kompetitif menjadi antara faktor yang memberi tekanan kepada Kumpulan dalam memenuhi jangkaan pihak berkepentingan,” ujarnya.
Pada 2017, HeiTech berjaya memperoleh kontrak bernilai RM222.1 juta pada tahun 2017, yang mana kira-kira RM127.7 juta berkaitan dengan teknologi maklumat manakala baki RM94.4 juta adalah berkaitan dengan kerja-kerja kejuruteraan bagi sektor tenaga.
Antara kontrak utama yang diperoleh daripada sektor awam termasuk Penyelenggaraan Sistem MyIMMS, Jabatan Imigresen Malaysia bernilai RM42.4 juta dan kontrak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membangunkan modul dokumentasi klinikal untuk Sistem Pengurusan Pesakit bernilai RM10.1 juta.
Di sektor swasta, HeiTech telah berjaya memperoleh kontrak perkhidmatan infrastruktur keselamatan bernilai RM33.3 juta bagi tempoh 4 tahun untuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan kontrak penyelenggaraan perkhidmatan rangkaian kawasan luas (WAN) bernilai RM41.9 juta daripada institusi pelaburan terbesar di Malaysia.
Dalam segmen perniagaan bukan berkaitan IT, Kumpulan telah melabur dalam syarikat-syarikat daripada pelbagai industri dan bidang perniagaan seperti pemprosesan surat dan dokumen, pangkalan data alat ganti, kerja-kerja kejuruteraan dan aplikasi mudah alih. Keseluruhannya, perniagaan bukan berkaitan IT ini menyumbang kira-kira RM109.2 juta atau 25.6% kepada hasil. -MalaysiaGazette